Pilihan Rayapun Kalah Tapi Masih Biadap

Pilihan Rayapun Kalah Tapi Masih Biadap

Ketua Umno Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman membidas Nur Jazlan Mohamed dengan menyifatkan timbalan ketua Umno Johor itu sebagai seorang yang “biadap” apabila secara terbuka mengkritik perdana menteri.

Bekas ADUN Lepar itu berkata, Nur Jazlan tidak layak mengkritik keputusan Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri, sedangkan beliau sendiri tidak diterima oleh pengundi Parlimen Pulai pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata demikian selepas Nur Jazlan menggelar Ismail sebagai perdana menteri Umno paling lemah dalam sejarah negara kerana berlengah berhubung kedudukan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu walaupun sudah meninggalkan Bersatu sejak 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Lewat atau tidak (menggugurkan Zuraida daripada Jemaah Menteri) adalah budi bicara yang bergantung kepada keperluan dan kewajaran, yang mana perdana menteri saja memahaminya.

“Kenyataan dia (Nur Jazlan) langsung tidak wajar malah biadap. Nur Jazlan tidak layak buat kenyataan sebegitu sedangnya dirinya kalah pada PRU lepas,” kata Tajuddin kepada FMT.

Pada PRU14, Nur Jazlan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai apabila tewas kepada Salahuddin Ayub mewakili Pakatan Harapan dengan perbezaan undi besar sebanyak 28,924.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata tindakan Nur Jazlan membuat kenyataan terbuka mengkiritik kepimpinan Ismail hanya akan mengeruhkan keadaan, malah memperlihatkan Umno sebagai parti tidak bermaruah.

“Perdana menteri mempunyai budi bicara penuh terhadap apa jua keputusan yang perlu dibuat dan di sini, Umno juga mempunyai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bertanggungjawab bersama perdana menteri memutuskan sebarang perkara penting.

“Membuat kenyataan terbuka seperti ini hanya mengeruhkan keadaan dan tidak sedikit pun membantu agar parti dilihat bermaruah,” katanya.

Pada 22 Jun, Nur Jazlan yang juga ketua Umno Pulai mendakwa Ismail menjadi “tebusan” pihak tertentu ekoran lewat membuat keputusan mengenai kedudukan Zuraida dalam Jemaah Menteri.

“Beliau tidak boleh buat keputusan atau menegaskan kuasanya kerana menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu.

“Hakikat beliau lambat buat keputusan menunjukkan bahawa beliau mungkin sedang berlengah.

“Tidak pernah seorang perdana menteri Umno selemah ini dalam sejarah negara,” katanya.

FMT

Isu Semasa