Benarkah Pemecatan Tajuddin Tak Beri Kesan Pada Umno?

Benarkah Pemecatan Tajuddin Tak Beri Kesan Pada Umno?

Puad Zarkashi dalam sebuah hantaran Facebook berkata Menteri Komunikasi Annuar Musa tidak memahami situasi politik hari ini.

Tajuddin Abdul Rahman bukan dipecat. Tajuddin digugurkan dan diganti dengan orang lain.

Puad kata, menggugurkan orang yang dilantik dan digantikan dengan orang lain adalah normal.

Puad juga kata, Annuar silap bila kata, Mahathir tidak pernah pecat sesiapa dari Umno.

Puad kata, Anwar dipecat dari jawatan timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

Realiti politik

Agak mengecewakan apabila membaca tulisan Puad ini.

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Malaysia dan kini merupakan speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

Betul. Sesiapa yang dilantik oleh presiden, boleh digugurkan dan diganti dengan orang lain.

Tetapi alasan gugurkan Tajuddin kerana mengkritik presiden di dalam MKT, sesuatu yang amat sukar untuk diterima di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi bukan diktator.

Sudah dua kali Tajuddin digugurkan.

Pertama, sebagai pengarah pilihan raya Umno dan terkini, ahli MKT Umno.

Alasan kerana Tajuddin bakal menjadi duta Malaysia di Jakarta juga tidak masuk akal.

Dulu, ramai pemimpin Umno yang lain pernah menjawat jawatan duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Indonesia dan lain-lain, tidak pula diarahkan meletakkan jawatan sebagai ahli MT Umno.

Perkara Kedua, tulisan Puad juga cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan bahawa Anwar pernah dipecat oleh Mahathir dari Umno.

Puad. Oh Puad!

Bacalah betul-betul kenyataan Annuar, beliau kata, Mahathir tidak pernah memecat sesiapa pun dari parti Umno, yang menentang atau mengkritiknya di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno secara terbuka walaupun mereka itu seorang menteri atau timbalan menteri.

Perlu diingatkan kepada Puad dan penyokong-penyokong tegar Puad, bahawa Anwar dipecat sebagai timbalan presiden Umno pada tahun 1998 bukan kerana mengkritik Mahathir tetapi kerana Anwar berhadapan dengan kes liwat dan penyalahgunaan kuasa.

Anwar dipecat kerana kesalahan moral dan pada April 1999, Anwar didapati bersalah diatas kedua-dua tuduhan oleh Mahkamah dan dipenjarakan.

Fakta-fakta ini amat jelas dan boleh dilihat semula sekiranya dibuat sedikit kajian.

Akhirnya, adalah tidak perlu untuk Puad menyerang Annuar sedemikian dengan fakta-fakta yang salah.

Persoalannya..

Perlu ditanya sejujur-jujurnya, benarkah pemecatan Anwar pada 1998 tidak membawa kesan kepada Umno?

Benarkah pemecatan Muhyiddin Yassin pada tahun 2015, tidak membawa kesan kepada Umno?

Benarkah dengan pemecatan Tajuddin Rahman pada Jun 2022 ini, tidak akan membawa kesan kepada Umno?

Masalah kita dalam politik ialah apabila suatu pihak itu sentiasa berada dalam penafian, takut untuk berhadapan dengan realiti sebenar.

Dan takut menyatakan bahawa “spade ia a spade”.

Melihat keadaan ini, secara realitinya, orang buta pun tahu, apa kesan terhadap pemecatan-pemecatan yang berlaku selama ini.

Rakyat melihat, sepatutnya seseorang pemimpin tertinggi parti, bebas untuk dikritik oleh siapa sahaja demi untuk kebaikkan parti dan negara.

Tajuddin tidak terkecuali. Dia sepatutnya bebas menyuarakan pandangan beliau.

Saiful Bahar Mohd Ashad adalah bekas penasihat khas menteri perladangan dan komoditi (2016-2018).

Kolumnis