Di Kampung Budu inilah British pernah membakar satu kampung dan beratus penduduknya mati.
Kata-kata oleh seorang rakan penulis ketika melalui Kampung Budu tidak lama dahulu membuatkan penulis ingin merungkai lebih lanjut mengenai tragedi itu.
Siapa sangka, di sebalik sebuah kampung yang memiliki khazanah alam tidak ternilai harganya, ia sebenarnya menyimpan satu kisah duka yang tidak banyak dicatatkan di dalam lipatan sejarah.
Menurut pengkaji sejarah, Anuar Abdul Rahman, peristiwa yang berlaku ketika bulan Ramadan pada Mei 1892 itu menyaksikan kira-kira 300 penduduk Kampung Budu terkorban setelah kampung mereka dibakar oleh tentera British yang ketika itu ditentang oleh pejuang-pejuang Melayu seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan pengikut mereka.
Katanya, pasukan Tok Gajah pada waktu itu bersiap-siaga membina kubu pertahanan di sekeliling kampung bagi menyekat kemaraan tentera upahan British.
“Tok Gajah dan Mat Kilau sememangnya telah menjangkakan British akan menyerang Kampung Budu.
“Ini kerana Residen Inggeris ketika itu telah menggerakkan kira-kira 400 polis tambahan dari Raub yang telah meningkatkan ketumbukan pasukan tentera British di Kuala Lipis menjadi hampir 2,000 orang yang terdiri daripada tentera upahan berketurunan Sikh dan Gurka,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan lapisan kubu dan parit dikaji dengan begitu teliti oleh pasukan Tok Gajah dengan mengambil kira kedudukan topografi seperti bukit dan paya sebagai elemen untuk pembinaan kawasan pertahanan tersebut sementara sumber air dari sungai-sungai berdekatan juga turut dipastikan berada di dalam kawasan selamat.
Tambah Anuar, kekuatan di pihak British pula telah berada di Kuala Lipis dan Raub ketika itu sebagai persediaan untuk menyerang sambil satu pasukan tentera diketuai oleh Residen British, Sir Hugh Clifford sendiri.
“British juga ketika itu telah menyediakan satu pasukan sokongan berserta tali barut di pihak orang Melayu yang akan menyerang Kampung Budu dari arah utara iaitu dari Kampung Temau sementara dua pasukan lain akan menyerang dari laluan darat melalui muara Sungai Teka dan satu pihak akan menyerang dari sebelan timur menerusi Penjom/Tanjung Besar,” katanya.
Beliau berkata, tentera upahan British kemudian mula mendarat di kawasan paya kering di sebuah tanah lapang berhampiran Lubuk Besar pada awal bulan Ramadan dan masa itu sememangnya dirancang kerana mempercayai pahlawan Melayu yang menentang mereka akan lemah.
Namun katanya, percubaan mereka selama dua minggu untuk melemahkan dan menawan pasukan penentang Tok Gajah gagal ditambah dengan keadaan tentera British yang sering diserang hendap dengan jerangkap samar.
“Tentera upahan British sebenarnya menerima pelbagai tekanan dalam usaha mereka menewaskan pasukan Tok Gajah.
“Mereka paling takut dengan jerangkap samar yang menggunakan katak puru dilumur dengan cili burung serta dibaling ke arah khemah-khemah askar-askar itu.
“Sementara laluan perahu di sungai juga seringkali diterbalikkan oleh rintangan rotan manau yang dijadikan jerangkap sehingga menyeksa tentera-tentera tersebut.
“Kerana keadaan itu, maka tentera-tentera upahan British ini menjadi tertekan kerana bukan sahaja mereka gagal menangkap Tok Gajah tetapi tidak dapat berehat secukupnya kerana serang hendap yang dilakukan pengikut Tok Gajah,” katanya.
Akhirnya, kata Anuar, tentera upahan tersebut bertindak membakar seluruh Kampung Budu.
Peristiwa ini sesuatu yang diluar jangkaan dan amat menyedihkan Tok Gajah serta pengikutnya.
Katanya, disebabkan tentera British yang ramai, akhirnya pasukan Tok Gajah membuat keputusan berundur dan melarikan diri ke Kampung Ulu Cheka setelah sebahagian mayat penduduk kampung selesai dikebumikan.
“Daripada peristiwa berdarah di Kampung Budu itu, telah berlaku pula pertempuran demi pertempuran yang membawa kepada penguasaan Inggeris di Hulu Pahang sehingga akhirnya Pahang jatuh ke tangan penjajah.
“Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sebahagian besar pengikutnya pula terpaksa berpindah-randah kerana diburu oleh British.
“Walaupun ada kalanya mereka mendapat sokongan dari pihak tertentu umpamanya di Kelantan dan Terengganu namun ia tidak mampu menghalang kehendak British untuk menjajah Pahang,” katanya.
Katanya, selama berpuluh tahun, kawasan-kawasan pengkebumian mangsa ketika tragedi hitam itu disifatkan sebagai kawasan ‘keras’ oleh masyarakat tempatan selain dipenuhi batu-batu nisan yang tidak diketahui warisnya.
Hanya batu nisan itu yang menjadi ingatan dan monumen terhadap peristiwa berdarah itu.
Utusan Melayu