Pakatan Nato Arab Bersama Israel

Pakatan Nato Arab Bersama Israel

Langkah terbaharu diambil oleh Amerika Syarikat dan negara sekutunya dengan membentuk pakatan tentera yang baharu di Asia Barat, apabila dikumpulkan beberapa buah negara Arab yang melaksanakan dasar normalisasi terhadap negara haram Israel.

Apakah tujuan pakatan ketenteraan itu, setelah diluaskan kawasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mula memasuki ke kawasan Eropah Timur di negara-negara bekas Pakatan Warsaw?

Tindakan tersebut telah mencetuskan perang antara Ukraine dengan Rusia, tatkala Ukraine hari ini dikuasai oleh Yahudi Zionis.

Lantas, Ukraine terus mengalami kekalahan demi kekalahan.

Hal ini tetap berlaku, walaupun mereka telah dibantu dengan bekalan senjata oleh NATO serta pada masa yang sama juga menghadapi krisis ekonomi dan politik di Eropah.

Semua negara Barat itu tetap mempertahankan Israel sehingga mereka sanggup bermati-matian untuk tujuan tersebut.

Manakala dari segi diplomatik pula, mereka menggunakan kuasa veto sehinggakan dibekalkan segala bentuk persenjataan termasuklah senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Adapun bantuan yang disalurkan kepada negara Arab hanyalah untuk mempertahankan takhta dan harta dengan bayaran yang mahal.

Hal ini adalah semata-mata supaya negara-negara tersebut tidak menjadi ancaman kepada Israel, laksana memerah lembu susu yang dibalas dengan rumput kering.

Pada masa yang sama, mereka melabel kumpulan Islam seperti Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah serta negara khususnya negara berjenama Islam dan pertubuhan yang terlibat membantu perjuangan jihad di Palestin dalam senarai pengganas.

Bahkan, negara-negara tersebut dikacau supaya berlaku huru-hara dan masing-masing dilaga-lagakan sehinggakan berperang sesama sendiri.

Alasannya semata-mata perbezaan mazhab, kaum, kelemahan atau salah laku pemimpin dan krisis sempadan.

Para pemimpin Barat telah mengeluarkan kenyataan awal tentang bahaya mazhab tertentu dan lain-lain faktor, seterusnya diikuti kenyataan susulan oleh para pemimpin Arab.

Kemudiannya, disusuli oleh kenyataan para ulama’ yang menyokongnya dengan dalil-dalil agama yang tidak boleh menandingi dan melawan nas yang nyata daripada Allah SWT.

Allah SWT secara berulang kali dalam beberapa surah memberikan amaran kepada umat, antaranya ialah firman-Nya:

۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ٨٢

“Demi sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang paling keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan demi sesungguhnya, kamu akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’ yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(Surah al-Ma’idah: 82)

Begitu juga firman Allah SWT:

۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ٥١

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana sebahagian daripada kalangan mereka menjadi teman rapat kepada sebahagian yang lain; dan sesiapa antara kalian yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka sesungguhnya dia adalah terdiri daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya, Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

(Surah al-Ma’idah: 51)

Firman Allah SWT lagi:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ١

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian menjadikan musuh-Ku dan musuh kalian sebagai teman rapat, dengan cara kalian menyampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang Mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada antara kalian dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kalian; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kalian (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kalian beriman kepada Allah Tuhan kalian. (Janganlah kalian berbuat demikian) jika betul kalian keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tiada sebarang faedahnya) kalian mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kalian rahsiakan dan apa yang kalian zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa antara kalian yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah mereka dari jalan yang betul.”

(Surah al-Mumtahanah: 1)

Dan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩

“Allah tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama (kalian), dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8);

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kalian daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kalian kerana agama (kalian), dan mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kalian. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)”

(Surah al-Mumtahanah: 8 – 9)

Apakah tidak cukup segala bukti keganasan Israel sejak penubuhan negara itu hingga kini, setelah mereka merompak Palestin dan menghalau penduduknya?

Hanya manusia yang buta akalnya sahaja, tidak mahu menerima segala tindakan Israel terhadap rakyat Palestin yang paling melampau dan ganas itu.

Hanya segelintir sahaja daripada kalangan kaum Yahudi yang menentang tindakan Yahudi Zionis itu, namun hakikatnya kumpulan fanatik Yahudi itu (Zionis) sebenarnya yang menguasai majoriti kaum Yahudi.

Di samping itu, terdapat beberapa mazhab Kristian juga yang bersekongkol dengan kumpulan Yahudi Zionis bagi menentang Islam.

Terdapat terlalu banyak bukti kezaliman yang dilakukan mereka terhadap negara Islam dan mereka sebenarnya berada di belakang segala masalah yang dicetuskan dalam negara Islam hari ini.

Khususnya, di negara yang secara nyata membantu perjuangan jihad rakyat Palestin terutamanya negara yang menjadi pangkalan bantuan secara langsung.

Malah, mereka juga pernah menyerang Afghanistan dan Iraq, begitu juga mencetuskan huru-hara di Yaman, Syria, Libya, Sudan dan Tunisia.

Mereka itulah dalang sebalik tabir yang mencetuskan Arab Spring bagi menjayakan percaturan dalaman negara yang menjadi sasaran mereka.

Sehinggakan, mereka turut membunuh saintis Iran dan para panglima tentera yang terlibat membantu perjuangan Palestin sejak awal lagi.

Terutamanya bantuan dari segi senjata, harta dan tenaga yang terlibat di Gaza, Tebing Barat dan Selatan Lubnan yang paling berhadapan dengan Israel.

Isu perbezaan mazhab, bahaya Turki ‘Uthmaniyah, isu kaum Kurdi dan perkauman yang lain dalam kalangan ahli satu kiblat dijadikan modal bagi menjatuhkan Khilafah Turki ‘Uthmaniyah suatu ketika dahulu.

Kini, modal yang sama dihidupkan semula dan menjadi api fitnah yang dinyalakan dalam kalangan umat Islam.

Bahkan, hari ini ada dalam kalangan negara Arab memilih untuk bersama dengan Amerika Syarikat dan sekutunya sekali gus membantu pihak yang terlibat dalam peperangan di Syria, Iraq dan Libya.

Apabila berlakunya rampasan kuasa tentera yang gagal menggulingkan kerajaan Turki, keadaan tersebut menunjukkan perubahan ke arah Islam.

Dalam pada itu, semakin jelas dan nyata rancangan rampasan kuasa itu disokong oleh Barat, Israel dan beberapa negara Arab dengan alasan bahaya Syiah dan Rusia yang berpihak kepada Syria.

Termasuklah juga atas alasan Syria yang menjadi pangkalan bantuan Iran kepada perjuangan Palestin, sehingga mengakibatkan beberapa negara Arab seperti Qatar menarik sokongan yang seterusnya menyebabkan negara itu dikepung oleh negara-negara Arab.

Sepatutnya umat Islam bersatu menentang Israel yang menjadi pusat berhimpunnya puak Zionis yang paling bermusuh terhadap Islam dan kemanusiaan sejagat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّٰصِرِينَ٢٢

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi tanpa alasan yang benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil; maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (21);

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan. (22)”

(Surah Ali ‘Imran: 21-22)

Al-Quran ialah kitab yang menjadi petunjuk mukjizat sepanjang zaman yang mendedahkan kejahatan bangsa Yahudi terhadap para rasul, para ulama’ yang soleh dan sesiapa sahaja yang menegakkan kebenaran dengan alasan yang bohong.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ لِمَ تُؤْذُونَنِي وَقَد تَّعْلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ ۖ فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ٥

“Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ‘Wahai kaumku! Mengapa kalian menyakitiku, sedang kalian mengetahui bahawa sesungguhnya aku ialah Pesuruh Allah kepada kalian?’ Maka, ketika mereka menyeleweng (daripada kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah menyelewengkan hati mereka (daripada mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq (derhaka).”

(Surah al-Saff: 5)

Adakah telah berlaku suasana yang pernah menjadi amaran Rasulullah SAW terhadap bangsa Arab?

Hal ini pernah dinyatakan oleh Baginda SAW melalui sabdanya:

وَيْلٌ ‌لِلْعَرَبِ ‌مِنْ ‌شَرٍّ ‌قَدِ ‌اقْتَرَبَ.

“Bencana atau kecelakaan terhadap bangsa Arab disebabkan kejahatan yang mendekati mereka.”

(Riwayat al-Bukhari 3346, Muslim 2880 dan lain-lain)

Apakah faedahnya negara-negara Arab menyertai NATO yang baharu untuk bersama negara haram Israel?

Walhal negara itu sedang berada dalam keadaan yang lemah untuk bertahan.

Hal ini demikian kerana, mereka tidak mampu lagi menyerang dengan kekalahan yang dihadapi di Ukraine.

Begitu juga, kegagalan mereka menghadapi kemampuan persenjataan Republik Islam Iran yang membantu pejuang Palestin secara terbuka sehinggakan berjaya mengalahkan Israel dalam pertempuran di Gaza dan Selatan Lubnan.

Allah SWT telah memberitahu betapa Yahudi yang melampau itu mencetuskan api peperangan yang pasti akan dipadamkan oleh-Nya melalui firman-Nya yang berikut:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ٦٤

“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: ‘Tangan Allah terbelenggu (bakhil dan kikir)’, walhal tangan mereka itulah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu; bahkan tangan Allah sentiasa terbuka (ni‘mat dan kurniaan-Nya luas melimpah-ruah). Dia memberikan (melimpahkan rezeki) sebagaimana yang Dia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan daripada mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian antara mereka hingga Hari Kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”

(Surah al-Ma’idah: 64)

Sepatutnya para ulama’ yang bersekongkol dengan pakatan NATO Arab kembali kepada petunjuk al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam percaturan politik dunia pada zaman masing-masing.

Allah SWT berfirman:

الٓمٓ١ غُلِبَتِ ٱلرُّومُ٢ فِيٓ أَدۡنَى ٱلۡأَرۡضِ وَهُم مِّنۢ بَعۡدِ غَلَبِهِمۡ سَيَغۡلِبُونَ٣

“Alif, Lam, Mim(1); Orang-orang Rom telah dikalahkan. (2); Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahan itu akan mengalahkan lawannya pula. (3)”

(Surah al-Rum: 1-3)

Pendirian umat Islam dalam percaturan politik antarabangsa adalah dengan berpihak kepada Rom yang beragama Kristian berbanding Parsi.

Hal ini disebabkan Rom ialah musuh yang lebih ringan bagi umat Islam, setelah mereka dikalahkan oleh Parsi yang beragama Majusi Musyrikin.

Mengapa ada dalam kalangan negara Arab yang sanggup bersekongkol dengan Zionis Yahudi dan Kristian bersamanya?

Kononnya, dengan sebab bahaya perjuangan Palestin dan Iran yang terbuka mengisytiharkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka.

Adapun Iran pada zaman Shah Iran dahulu yang nyata pegangan Syiah bersama Zionis dan menolak Islam pula dianggap jiran yang akrab.

Di mana letaknya roh Islam dalam diri para pemimpin Arab itu?

Sebaliknya, rakyat mereka pula bersama-sama umat Islam di seluruh dunia berpihak kepada perjuangan Palestin bagi menentang Israel.

Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya berwaspada terhadap golongan Ahli Kitab melalui firman-Nya:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ١١٠ لَن يَضُرُّوكُمۡ إِلَّآ أَذٗىۖ وَإِن يُقَٰتِلُوكُمۡ يُوَلُّوكُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ١١١

“Kalian (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kalian menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kalian pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar keimanan). Dan seandainya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang sepatutnya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq. (110);

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kalian, kecuali menyakiti (perasaan kalian dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kalian, mereka akan berpaling lari membelakangkan kalian (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. (111)”

(Surah Ali ‘Imran: 110-111)

Bersama pakatan NATO Arab dengan Israel hanyalah menjual maruah agama, bangsa dan tanah air suci Islam semata-mata.

Dan mereka bersama pasti akan ditimpa kekalahan dan menyaksi kemenangan Islam yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru