Manifesto PAS Terengganu dalam PRU14, ada menyatakan akan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu, tetapi tidak memaklumkan bagaimana misinya kerana ia adalah hal teknikal.
Ini adalah kerana, janji manifesto itu adalah visi PAS jika berjaya memerintah.
Secara tiba-tiba dan mengada-ngada ada pihak lain meletakkan syarat yang perkerjaan yang dijanjikan itu mestilah di dalam negeri Terengganu, sedangkan tidak disebut di mana kerja yang dijanjikan itu.
Pekerjaan itu juga mestilah berpendapatan tinggi, kendatipun tidak pernah dijanjikan nilai gajian itu.
Jadi, mereka tuduh kerajaan gagal melaksanakan janji manifesto itu, malah jauh dari itu, mereka menuduh kerajaan menipu, kerana tidak menurut piawai rekaan mereka itu.
Apabila penerangan diberikan, ramailah rakyat yang memahami akan cara Kerajaan Terengganu melunaskan janji-janji mereka.
Wakil kerajaan adakalanya keluar mencarikan peluang kepada rakyat.
Kerja tidak semestinya di kampung sendiri, bergaji besar atau atas kehendak nafsu sendiri.
Asalkan kerja yang halal, kita ada kemahiran melakukannya atau sanggup belajar, kerja dengan niat ikhlas maka itulah kerja yang diredai Allah, sebagai ibadat.
Lama tenggelam isu ini, tiba-tiba ia muncul semula dikocak oleh Adun Taman Medan dari PH.
Katanya Kerajaan Terengganu mengambil kesempatan atas kempen atau pameran peluang pekerjaan di Selangor itu.
Dan jelas, segalanya itu hanyalah satu cubaan untuk memfitnah Kerajaan Terengganu sahaja.
Satu penafian oleh pihak yang terlibat secara langsung dengan isu ini, tampil memberikan penjelasan kepada semua.
Maklumat yang terpesong itu, dapat diperbetulkan semula.
Entah kenapa Adun Taman Medan dengan sengaja menjaja cerita separuh masak itu kepada orang ramai.
Tidak ada rasa malu kepada malaikatkah yang duduk kiri dan kanan kita, mencatat cerita sebegini?
Dahulu ada seorang Adun PH Selangor yang menghantar anaknya belajar di sebuah Sekolah Imtiaz, Terengganu.
Kebetulan yang memberikan ucapan di Imtiaz ketika itu ialah Adun Terengganu sebelum 2018 dahulu.
Bila sahaja dia melihat Adun PH dalam majlis itu, lalu dengan nada sinis, beliau menyindir PH Selangor berkenaan kemajuan pendidikan di Terengganu, sehinggakan Adun itu menghantar anaknya ke Terengganu.
Tersengih-sengih beliau diperli.
Sindiran itu sungguh tidak patut kerana memalukan Adun itu di hadapan orang ramai.
Perbuatan memalukan itu walaupun amat benar faktanya, tetap dianggap tiada adab.
Apalagi perkataan fitnah yang jelas salah, disebarkan oleh kenamaan seperti Adun Taman Medan, rakan beliau.
Dan beliau, sebagai orang yang dimalukan, harus mengambil sedikit inisatif untuk menasihati rakan-rakan PH nya agar tidak mengulangi perbuatan Adun Terengganu sebelum 2018 itu.
Terfikir dalam benak kita, adakah sememangnya cara kempen PH adalah memfitnah PAS?
Mereka mendakwa PAS lemah, tetapi kenapa begitu takut sehingga sanggup memfitnah PAS berulang-ulang?
Lihat, baru-baru ini anak pembesar nombor satu mereka memfitnah Kerajaan Kedah berkenaan pembalakan.
Ayahnya dahulu memfitnah PAS, terima rasuah RM90 juta.
Fitnah kepada almarhum Tan Sri Khalid, orang mereka sendiri ketika itu, masih kita ingat dalam apa yang digelar Langkah Kajang konon untuk rakyat.
Fitnah dibuat sewaktu itu, sebenarnya kerana mahu melayan nafsu seseorang untuk menjadi MB.
Alhamdulillah, TS Khalid menang dalam mahkamah.
Allah maha berkuasa kerana melindungi aib Tan Sri.
Malah Sultan Selangor merestui untuk jenazah Tan Sri dikebumikan di Makam Di Raja Selangor, satu penghargaan kepada almarhum.
Bukan itu sahaja, almarhum juga dipuji semua orang yang yakin dengan integriti beliau.
Sejarah membuktikan, serangan yang beliau dan pasukan lakukan untuk merampas kembali Kumpulan Guthrie, hak rakyat Malaysia dahulu, jelas menzahirkan semangat patriotik almarhum.
Kita yakin yang almarhum adalah seorang negarawan dan profesional dengan tugasannya.
Kumpulan yang memfitnah almarhum pula, suatu ketika ada antaranya ditarik kembali gelaran Dato’, kurniaan Sultan Selangor.
Masihkan kita ingat, semasa Presiden PKR terkena fitnah dahulu, bukan main bercucuran airmata anak bini, sakitnya hati, tergurisnya perasaan, kata mereka.
Walaupun dua kali mahkamah mendapati beliau bersalah.
Tiba giliran parti mereka, tak mengapa pula memfitnah, kawan sendiri?
Jadi bagaimana mungkin mereka mahu mentadbir negara dengan penuh integriti jika parti mereka, dari bawah sampai atas, dipenuhi dengan kaki fitnah?
Untuk kes Lim Guan Eng diungkapkan kata tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Kepada almarhum TS Khalid pula, sesama Melayu dan Islam, beliau disalahkan, walaupun tiada bukti bersalah kerana mahu diturunkan.
Jika kepada seorang negarawan, mereka sanggup melakukan fitnah keji sebegitu, apa lagi kepada kamu rakyat marhaen?
Slogan marhaen yang diperkenalkan oleh mereka dahulu, hanyalah umpan sahaja.
Fikirkanlah, kerakusan mereka ini.
PAS pegang teguh setiakawan bersama almarhum TS Khalid sehingga akhir hayatnya.
Semoga Allah mengampun dan merahmati ruh almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim, amiin
Mohd Nasir Abdullah