UMNO Nak Ubah, PAS Nak Pertahan

UMNO Nak Ubah, PAS Nak Pertahan

Berdasarkan perkembangan mutakhir, tidak mustahil PRU15 diadakan pada bulan Oktober atau November tahun ini.

DUN Terengganu juga dijangka akan dibubarkan sebaik Parlimen dibubarkan.

Bagi DS Ahmad Said, inilah peluang beliau untuk menjadi MB Terengganu bagi kali kedua.

Pucuk dicita, ulam mendatang.

Harapannya untuk bergerak solo telah selari benar Zahid Hamidi si petualang.

Pada firasat penulis, Mat Said tidak yakin dapat menawan kembali Terengganu atas beberapa faktor.

Pongohnya untuk melawan PAS lebih kepada nafsu atau memperjudikan nasib.

Daripada membiarkan ‘statuo quo’, baik ubah.

Maka tema ‘Ubah’ dibawa untuk menghadapi PAS kali ini.

Ramai tersenyum sambil bertanya, ‘apa yang nak diubah?’

Di sinilah Mat Said akan mencari jalan untuk menerangkan kepada rakyat Terengganu tentang apa yang nak diubahnya?

Untuk menentukan pilihan yang baik, rakyat boleh dengar hujah atau justifikasi Mat Said.

Tinggal lagi dalam kategori apa sesuatu hujah beliau hendak diklasifikasikan?

Fakta? Fitnah? Atau klentong?

Di situ duduk perkaranya.

Mat Said dah rancak buat majlis masuk kampung.

Berjumpa dengan saf kepimpinan UMNO, orang-orang lama dan orang-orang muda dalam UMNO.

Satu kelebihan Mat Said ialah beliau orang yang berani.

Kisah berani beliau berjuang sehingga Kemaman mendapat jambatan seperti ular sawa di Bukit Kuang adalah indikasinya.

Justeru, PAS jangan memandang mudah kepada usaha beliau untuk mengambil alih Terengganu.

PAS kena ingat bahawa kemenangan besar PAS pada PRU14 adalah kerana hayunan sokongan orang-orang UMNO kepada PAS atas isu Najib dan Rosmah ketika itu.

Kini Najib dipandang sebagai ‘Bosku’ manakala Rosmah telah hilang dari radar kebencian orang-orang UMNO.

Namun apakah faktor ini mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO sedangkan Presidennya pula sedang menghadapi beberapa isu penyelewengan di mahkamah?

Segala kemungkinan itu di tangan Allah.

Sebagai manusia pemerhati politik melihat beberapa faktor lain yang tidak bersama Mat Said kali ini.

Mat Said merasakan gelaran ‘kerajaan sepenggal’ adalah stigma bagi PAS Terengganu.

Dalam sejarah yang panjang, PAS belum pernah dapat meneruskan penggalnya untuk kali kedua.

Justeru, PAS akan terus memerintah Terengganu selepas PRU15 adalah berada di luar kotak pemikiran ADUN Kijal ini.

Mari kita lihat beberapa fakta untuk difikirkan.

Ketika PRU11 pada tahun 2004, Ketua perang UMNO Terengganu ketika itu DS Idris Jusoh membawa pendekatan ‘Gelombang Biru’ untuk menumbangkan kerajaan PAS.

Gelombang tersebut diperkuatkan dalam dua bentuk.

Pertama, peruntukan wang Dana Ehsan yang melimpah-ruah.

Kedua, daftar pemilihan yang amat meragukan sehingga menjadikan Terengganu menerima pertambahan pengundi baru yang tertinggi di seluruh negara.

‘Ubah’ yang dibawa oleh Mat Said sekarang ada tidak mempunyai dua faktor mega ini.

UMNO sudah kekeringan dana sejak jatuh di peringkat Pusat pada PRU14.

Bagaimana pula daftar pemilih kali ini?

Adakah pengundi baru 18 tahun ke atas sudah diborong oleh UMNO?

Apa lebihnya UMNO pada pandangan anak muda sekarang?

Dan apa lemahnya PAS mentadbir Terengganu sekarang pada mata mereka?

Inilah yang akan menjadikan Mat Said ‘terkecewa’ nanti.

Anak-anak muda khususnya adalah generasi celik IT.

Komitmen mereka bukan lagi berdasarkan sentimen.

Mereka ikuti kisah ‘Terengganu Runtuh’ di zaman BN.

Dan mereka saksikan bagaimana wakil-wakil rakyat PAS bekerja dan mendampingi rakyat.

Jangan cakap soal integriti.

Pastinya persepsi terhadap UMNO jatuh terperosok di telapak kaki.

Kesimpulannya, Mat Said boleh berangan dan mengharapkannya menjadi nyata.

Di sudut lain, PAS tidak pernah letih berjuang.

Namun ambillah segala kemungkinan.

Yakin tetapi jangan berlebihan.

Kalau culaan dan segala kerja pilihanraya tidak dioptimumkan, tidak mustahil akan kecundang.

Kerja, harapan dan doa mesti seiringan.

Berjuanglah di posisi apapun yang diarahkan.

Segera semarakkan semangat jihad.

Seperti biasa, sentiasa bersedia mengorbankan diri untuk kemenangan Islam.

Nota kaki: Apakah status terkini laporan polis kes Mat Said ‘mencekor’?

BayangDiAir,

Kolumnis