Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki mendakwa satu kajian peringkat kedoktoran (PhD) sebuah universiti tempatan menunjukkan 88 peratus daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah antara 2010 hingga 2014 adalah bukan-Melayu.
Menurutnya kajian tersebut mendedahkan 57.46 peratus daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah adalah daripada kaum Cina; 30.51 peratus (India); dan 12.03 peratus (Melayu).
Katanya dapatan kajian tersebut telah diterbitkan di dalam sebuah jurnal antarabangsa yang berwibawa di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS).
“Perlu diakui, wabak rasuah ini melibatkan semua kaum sama ada Melayu, Cina atau India. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, majoriti yang terlibat sebagai penerima rasuah adalah dari kaum Melayu, manakala majoriti yang terlibat sebagai pemberi rasuah adalah dari kaum bukan-Melayu.
“Bagaimanapun, yang selalu dipersalahkan adalah penerima rasuah, sedangkan pemberi rasuah juga adalah sebahagian dari golongan bermasalah yang perlu dibenteras,” katanya mempertahankan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung rasuah.
Baru-baru ini, Abdul Hadi membangkitkan perkara itu yang kemudian dijadikan isu oleh Pakatan Harapan (PH), terutama DAP, hingga ada yang membuat laporan polis dan Ahli Parlimen Marang itu dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.
Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata hakikat sebenar apa yang disebutkan oleh Presiden PAS itu selari dengan dapatan kajian yang dinyatakan, justeru, PH tidak perlu mengapi-apikan sentimen perkauman untuk kepentingan politik mereka.
Beliau berkata dapatan daripada kajian itu juga menyebut antara faktor utama pemberi rasuah melakukan penyogokan adalah kerana mahu melepaskan diri dari hukuman sama ada berupa denda atau penjara.
Faktor lain, katanya adalah kerana ingin mendapatkan keutamaan dalam sesuatu keputusan oleh agensi kerajaan seperti berkaitan tender perolehan dan sebagainya.
Mohd Zuhdi berpendapat PH memainkan sentimen perkauman melalui kenyataan Abdul Hadi setelah menyedari pengundi Cina dan India kini telah menolak gabungan itu.
“Dalam beberapa PRK dan PRU peringkat negeri baru-baru ini, memperlihatkan undi kedua-dua kaum sudah mula beralih dari PH. Menyedari peralihan tersebut, pimpinan PH kembali memainkan sentimen perkauman seperti yang mereka lakukan terhadap tulisan Presiden PAS,” katanya.
Beliau mengimbas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2019 yang menyatakan bahawa PH yang memerintah ketika itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda amalan rasuah, apabila beberapa pemimpinnya mula kelihatan menikmati gaya hidup mewah setelah menjadi kerajaan.
“Oleh itu, PH tidak berhak mendakwa pemerintahan mereka selama 22 bulan bersih daripada salah guna kuasa dan rasuah. Nasib baik PH memerintah hanya 22 bulan, sekiranya lebih lama tidak mustahil lebih ramai pemimpin PH yang terjebak dengan salah guna kuasa dan rasuah.
“Perlu diingat, golongan pemberi rasuah sentiasa mengelilingi mana-mana parti politik dan pemimpin mereka yang mereka yakini boleh disogok,” katanya lagi.