Perkataan aqidah seerti dengan perkataan iman, dan ia sama sekali tidak boleh disamakan dengan perkataan ideologi kerana aqidah atau iman itu merupakan hidayah Allah SWT.
Adapun ideologi pula ialah ciptaan manusia bersifat makhluk yang mempunyai banyak kelemahan, walaupun seseorang itu berakal dan berilmu.
Makna aqidah dari sudut bahasa ialah mengikat dengan simpulan yang teguh, sehinggakan ia sukar dirungkai dan dicabut.
Hal ini berpandukan kepada firman Allah SWT:
﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦﴾
“Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan terungkai. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 256)
Walaupun Islam membawa konsep tiada paksaan dalam menganutinya, namun apabila seseorang itu mengaku Islam maka wujudlah ikatan manusia dalam hubungannya dengan Allah SWT meliputi semua urusan dunia hingga akhirat.
Lalu mereka mengikuti petunjuk Allah SWT dengan keyakinan yang kukuh dan tidak boleh dirungkai lagi.
Penyimpulan kepercayaan dengan yakin dan ikhlas kepada Allah SWT dan menolak yang melampaui sempadan Allah yang ditetapkan dalam segala aspek kehidupan manusia.
Hal ini merangkumi hubungannya dengan Allah dan urusan keduniaannya yang ditetapkan kepada mereka.
Aqidah itu hanya beriman kepada Allah SWT sahaja sebagai Pencipta alam dan segala peraturan-Nya.
Kepercayaan yang disimpul dengan teguh yang dinamakan iman itu tiada keraguan sedikit pun.
Sekiranya ada keraguan, maka imannya tidak sah atau aqidah yang disimpulkan itu terungkai.
Ketetapan Allah SWT dan petunjuk-Nya tidak boleh diragukan walau sedikit pun, sebagaimana firman-Nya berkenaan al-Quran:
﴿ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢﴾
“Kitab (al-Quran) ini tiada sebarang keraguan padanya; ia menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 2)
Dan firman Allah SWT berkenaan Rasulullah SAW:
﴿فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا٦٥﴾
“Maka, demi Tuhanmu! Mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Rasulullah SAW) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan; kemudian mereka pula tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keraguan terhadap keputusan yang telah kamu berikan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(Surah al-Nisa’: 65)
Aqidah atau iman itu bermaksud kepercayaan kepada Islam sebagai al-din (agama) daripada Allah SWT yang bersifat keagamaan yang sempurna, tidak seperti takrif agama yang lain.
Hal ini demikian kerana, ajaran Islam itu sempurna merangkumi segala aspek kejadian alam, termasuklah manusia dari sudut jasad dan roh, individu, keluarga dan masyarakat.
Begitu juga soal politik, ekonomi dan lain-lain, wawasan akhirat mengikut perhitungan atau hisab akan dosa dan pahala, serta balasannya kelak.
Islam sama sekali berbeza dengan ideologi yang berpisah daripada petunjuk agama.
Aqidah dan iman itu mempunyai sempadan yang wajib dijaga dalam semua urusan agama dan dunia, bahkan ia tidak boleh dilangkah dan dicerobohi sekali-kali.
Dalam keadaan diri seseorang dan kumpulan itu dikawal oleh batas-batas iman dan kufur.
Ideologi pula merupakan suatu teori yang menjadi sistem kepercayaan, hasil ciptaan manusia yang menjadi asas kepada tingkah laku seseorang.
Pada lazimnya, ia merujuk kepada satu set kepercayaan yang menggerakkan suatu pergerakan politik dan sosial.
Menurut Ensiklopedia Britannica, ideologi itu dimaksudkan sebagai salah satu item yang membentuk keperluan mental dan jasmani individu yang membentuk sesebuah masyarakat serta meliputi permasalahan politik, sosial, ekonomi dan perkara yang bersangkut paut dengan sejarah dan sosio-geografi manusia.
Manakala Kamus Dewan Edisi Ketiga pula mentafsirkan maksud ideologi ialah suatu fahaman (ajaran) yang dipakai atau dicita-citakan untuk dasar pemerintahan dan lain-lain tujuan.
Pengertian ideologi adalah berbeza pada pandangan tokoh dan sarjana yang pelbagai.
Berikut adalah sebahagian pengertian ideologi:
Antoine Destutt de Tracy: Ideologi ialah pembelajaran terhadap idea-idea (pemikiran tertentu).
Niccolo Machiavelli: Ideologi ialah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa.
Thomas Hobbes: Ideologi ialah suatu cara untuk melindungi kekuasaan pemerintah agar dapat bertahan dan mengatur rakyatnya.
Karl Marx: Ideologi merupakan alat untuk mencapai kesamarataan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat.
Ideologi ialah teori ciptaan manusia mengikut akal mereka yang boleh berubah dengan mudah.
Malah, ia hanyalah terhad dalam aspek ekonomi, politik dan cara hidup yang terpisah daripada agama disebabkan konsep sekularisme yang menjadi terasnya.
Bahkan, kesetiaannya kepada manusia dan undang-undang mengatasi kesetiaan kepada Allah SWT.
Perhitungan soal dosa dan pahala hanya berlaku dalam urusan yang dinamakan agama sahaja, dan agama itu dipisahkan daripada urusan keduniaan.
Bahkan, terdapat ideologi yang dianuti oleh golongan ateis yang tidak beragama dan menolak kepercayaan kepada Tuhan secara mutlak.
Sehingga seorang Muslim yang berideologi sahaja, boleh menyebabkan syahadah dan baiahnya dirungkai dengan mudah.
Oleh itu, seorang yang menganut apa-apa ideologi boleh terjerumus melangkah sempadan ketetapan Allah SWT dalam urusan keduniaan seperti politik, ekonomi dan lain-lain.
Adapun bagi PAS, telah ditegaskan dalam Perlembagaannya pada Fasal 7(1) untuk mempertahankan aqidah perjuangannya.
Hal ini sebagaimana yang tertulis seperti berikut:
“Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.”
Peranan Majlis Syura ‘Ulamak ialah memelihara perkara dasar, sehingga boleh membatalkan sebarang keputusan dan langkah PAS yang bercanggah dengan dasar parti.
Selain itu, bagi melaksanakan tugas-tugas yang besar dalam parti dan kumpulan yang beraqidah Islam, maka diwajibkan untuk berbaiah, tidak cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah dan bersumpah sahaja.
Inilah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا١٠﴾
“Bahawasanya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepadamu, sesungguhnya mereka itu berjanji setia kepada Allah; tangan Allah di atas tangan mereka. Oleh itu, sesiapa yang melanggar janji setianya, nescaya akibat dia melanggar janji setia itu akan menimpa ke atas dirinya sendiri; dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.”
(Surah al-Fath: 10)
Dalam pada itu, sebarang hubungan dengan pihak lain tidak boleh terkeluar daripada prinsip aqidahnya.
Walau bagaimanapun, hubungan dengan pihak lain tetap diadakan bagi menyampaikan mesej Islam kepada seluruh manusia, menegakkan konsep adil terhadap semua dan memelihara hubungan hak kemanusiaan mengikut ketetapan Allah SWT bukannya ciptaan manusia.
Namun, wala’ dan taat secara mutlak hanyalah kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sahaja.
Adapun kasih, taat dan setia kepada yang selainnya adalah bersyarat dan tidak boleh sekali-kali mengatasi al-Quran dan Sunnah.
Penganut ideologi menggunakan akal dengan menjadikannya lebih besar daripada perkara aqidah, sehinggakan mereka bersedia menjadi bisu terhadap kemungkaran yang nyata di hadapannya dan juga terhadap kenyataan terbuka yang menghina Islam pun turut dibiarkan.
Hal ini sekali gus berbeza dengan PAS yang tidak boleh didiamkan oleh ahli biasanya dan tetap berusaha mencegah kemungkaran walaupun terhadap diri, keluarga, pemimpin dan ahlinya sendiri.
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا، فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَان.
“Sesiapa dalam kalangan kalian melihat kemungkaran (berlaku di hadapannya dengan nyata) hendaklah mengubahnya dengan tangannya (kuasa); dan jika tidak mampu, maka (mencegah) dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, maka hendaklah membenci dalam hatinya, itulah iman yang paling lemah.”
(Riwayat Muslim 49)
Parti yang berpaut kepada ideologi pasti akan menerima tempias akibat kegagalan ideologi di negara penciptanya itu, dan seterusnya menuju ke arah bersifat pragmatik.
Sehinggakan, menjadi parti atau kumpulan cacamarba yang mengumpulkan hak dan batil, benar dan salah.
Mereka yang beriman dalam parti tersebut boleh hanyut dan melemahkan imannya atau dipengaruhi sehingga merosakkan imannya.
Perkara ini selari dengan sabda Rasulullah SAW:
إنَّما مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ، والْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ، وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وإمَّا أنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.
“Sesungguhnya, bandingan seorang berada dengan teman yang soleh dan teman yang jahat, laksana bersama pembawa misk (bauan yang harum) dan penghembus api tukang besi. Maka, pembawa bauan yang harum, sama ada dia menyapu bauannya yang harum secara percuma padamu atau kamu membelinya atau setidak-tidaknya mencium kewangiannya. Adapun penghembus api tukang besi itu, sama ada percikan baranya membakar pakaianmu atau kamu mendapat bau yang busuk.”
(Riwayat al-Bukhari 2101 dan Muslim 2628)
Untuk bacaan lebih lanjut, sila lihat Tafsir al-Azhar dalam bahasa Melayu: Pak Hamka RH, juzuk 8, Tafsir Surah al-An‘am ayat 159.
PAS tidak pernah menganggap mereka sahaja satu-satunya kumpulan Islam, kerana di sana terdapat kumpulan-kumpulan Islam yang lain dan individu yang tetap berpegang dengan aqidah yang kukuh sekalipun berbeza pendekatan dengan PAS.
Namun, kumpulan-kumpulan tersebut sama-sama berkewajipan memberikan peringatan sekiranya berlaku sesuatu yang membahayakan aqidah.
Kewajipan ini bukan PAS sahaja yang mesti bersuara untuk menyelamatkan mereka yang jahil dan lalai, bahkan setiap orang Islam juga diwajibkan mencegah kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing, khususnya kemungkaran aqidah.
Namun, masih ada mereka yang mempunyai kemanisan iman, sekalipun mereka melakukan perkara yang merosakkan iman dalam diri masing-masing disebabkan kejahilannya.
Masih ada dalam diri mereka kecintaan kepada Islam dan seluruh penganutnya.
Mereka disebutkan oleh sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ، وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.
“Tiga perkara jika sesiapa yang ada pada dirinya, nescaya masih ada kemanisan iman padanya. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya paling dikasihi daripada yang lain, kasihnya kepada seseorang kerana Allah, dan benci menjadi kafir setelah diselamatkan oleh Islam laksana tidak mahu jika dihumban ke dalam neraka.”
(Riwayat Muslim 43, Ahmad 12002 dan lain-lain)
Kewajipan menyelamatkan aqidah penganut Islam, di samping berdakwah kepada Islam mestilah dilaksanakan.
Hal ini demikian kerana, Allah SWT memberikan peringatan bahawa musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha memurtadkan penganut Islam dengan berbagai-bagai cara dan pendekatan.
Firman Allah SWT:
﴿وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ٢١٧﴾
“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kalian sampai mereka (dapat) memurtadkan kalian daripada agama kalian (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Sesiapa yang murtad antara kalian daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah al-Baqarah: 217)
Terdapat dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan tidak bermusuh, maka Allah SWT mengizinkan kita berhubungan dengan mereka.
Hal ini penting bagi memperkenalkan Islam secara lebih dekat, atau bersaudara dengan kelompok tersebut dari segi kemanusiaan dengan menjaga sempadan iman diri kita sendiri.
Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:
﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾
“Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama dan tidak (pula) mengusir kalian dari negeri kalian. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8);
“Sesungguhnya, Allah hanya melarang kalian menjadikan mereka sebagai kawan kalian, orang-orang yang memerangi kalian kerana agama dan mengusir kalian dari negeri kalian, dan membantu (orang lain) untuk mengusir kalian. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)”
(Surah al-Mumtahanah: 8-9)
Malangnya, terdapat kalangan mereka yang terlanjur dalam hubungannya dengan bukan Islam, bahkan bercampur aduk tanpa sempadan.
Sehinggakan, mereka melanggar sempadan yang memisahkan antara iman dan kufur, suatu aspek yang wajib diketahui dan difahami oleh setiap penganut Islam.
Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ.
Daripada Sufyan bin ‘Abdillah RA; saya berkata: “Wahai Rasulullah! Ucapkanlah (nasihatilah) aku berkenaan Islam, sehingga aku tidak perlu lagi bertanyakan orang lain.”
قَالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ، فَاسْتَقِمْ.
Sabda Rasulullah SAW: “Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah (teguh berada di jalan yang betul).”
(Riwayat Muslim 38)
Beristiqamah itu berlaku dalam segala aspek ajaran Islam dari segi aqidah, syariat dan akhlak.
Hadis di atas telah mentafsirkan firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah! Dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kalian dari jalan-Nya. Demikian itu, Allah memerintahkan kalian agar kalian bertaqwa.”
(Surah al-An‘am: 153)
Masih terdapat ramai dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan menghormati ketegasan Islam dalam mempertahankan aqidahnya.
Malah, terdapat juga kalangan orang Islam yang jahil murakkab bersikap terlanjur dan memarahi teguran terhadapnya, laksana orang buta yang memarahi pembantunya melintasi jalan yang berbahaya.
Rasulullah SAW pernah dianggap gila oleh kalangan mereka yang tidak menerima nasihatnya supaya kembali kepada petunjuk Allah SWT, sama ada disebabkan jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil) atau degil dan fanatik kedegilannya sehinggakan tidak mahu bermuhasabah dirinya.
Hal ini berbeza dengan para sahabat RA seperti Abu Zar RA, apabila beliau ditegur oleh Rasulullah SAW kerana telah bertindak menghina seorang hamba.
Sabda Baginda SAW:
إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ.
“Sesungguhnya, kamu ini seorang yang masih ada dalam dirimu perangai jahiliah.”
(Riwayat al-Bukhari 30, Muslim 1661 dan lain-lain)
Dengan insaf, Abu Zar RA bertaubat dan meminta maaf tanpa perasaan marah dan tidak menganggap beliau dituduh kafir apabila dikatakan dirinya bersifat jahiliah.
Fahamilah firman Allah SWT terhadap mereka yang bermusuh dengan Rasulullah SAW yang telah menunjukkan jalan yang benar:
﴿۞قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا نَذِيرٞ لَّكُم بَيۡنَ يَدَيۡ عَذَابٖ شَدِيدٖ٤٦﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya, aku hendak memperingatkan kepada kalian satu hal sahaja, iaitu supaya kalian menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kalian fikirkan (tentang Muhammad) tiada penyakit gila sedikit pun pada kawan kalian itu. Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kalian sebelum (menghadapi) azab yang keras.”
(Surah Saba’: 46)
PAS berusaha menyelamatkan umat Islam secara khusus daripada kemungkaran aqidah yang lebih besar dan berbahaya berbanding kemungkaran jenayah akhlak, syariat dan politik (rasuah dan lain-lain).
Pada masa yang sama, menentang secara tegas semua jenis kemungkaran tanpa terpilih jenis dan pelakunya.
Sekalipun terhadap ahli malahan pemimpinnya sendiri, bukan terhadap lawannya sahaja.
PAS beberapa kali mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpinnya kerana kemungkaran yang dilakukan.
Islam mengharamkan seseorang itu bertindak kerana dendam terhadap lawannya semata-mata.
PAS juga menyelamatkan manusia termasuk golongan bukan Islam daripada politik melampau yang merosakkan umat dan bangsanya sendiri.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS