Tanda tanya mengenai siapakah yang akan dipilih oleh PAS bagi membentuk gabungan politik menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum terjawab meskipun Parlimen sudah dibubarkan.
Seorang pemerhati politik tempatan, Ahmad Atory Hussain berpandangan parti itu sedang menggunakan “formula” tersendiri dengan mahu dilihat sebagai pendamai antara dua parti politik Melayu lain iaitu Umno dan Bersatu.
Katanya, tujuan PAS cuma satu.
Parti Islam itu mengimpikan untuk menyatukan Umno dan Bersatu supaya politik orang Melayu menjadi lebih kukuh serta tidak boleh dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH).
“PAS termakan budi dengan Umno kerana banyak membantu PAS dan sama-sama tubuhkan Muafakat Nasional pada tahun 2019 yang lalu,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Begitu juga dengan Bersatu. PAS sering kata kalau Muhyidin Yassin tak buat Langkah Sheraton hari tu, tidak akan PAS merasa jadi menteri, timbalan dan berada di GLC.”
Atas sebab itu, katanya, berkemungkinan besar PAS akan bertindak saling bantu-membantu Umno dan Bersatu pada PRU15 yang akan ditetapkan tarikhnya selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober akan datang.
PAS juga yakin usaha menjayakan gagasan perpaduan ummah turut akan lebih mudah dicapai apabila semua parti-parti utama Melayu-Islam dan Bumiputera dalam negara ini dapat berlapang dada serta berjiwa besar dalam menghadapi PRU15 dengan melihat kepentingan yang lebih besar iaitu kestabilan negara dan kebahagiaan rakyat jelata.
Katanya, ini bermaksud PAS akan menyokong mana-mana kerusi tempat Umno dan Bersatu bertanding dengan tidak meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi tersebut.
“Contoh, dalam Pilihan Raya Negeri Sabah tempoh hari, PAS tak bertanding satu kerusi pun. Tapi selepas PRN, mereka mendapat satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) percuma hadiah dari kerajaan negeri Sabah.”
Atory merujuk kepada pemimpin PAS yang dilantik menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di Sabah.
Bagaimanapun, menurut Atory, sekiranya kerusi yang dipertandingkan direbut oleh kedua-dua pihak Umno dan Bersatu, PAS tetap memberikan sokongan dengan syarat, tiada ada calon PH di situ.
Ini kerana, keberadaan PH di kerusi tersebut akan menimbulkan pecahan undi dan PH boleh menang.
“Namun, PAS ada penyelesaian sendiri di mana di semua kerusi Parlimen yang Melayu majoriti, PAS biarkan Umno dan Bersatu bertanding.
“Kalau Umno menang, baik. Kalau Bersatu menang juga, baik. Apa yang penting kerusi itu dimenangi Melayu Umno atau Bersatu.”
Berkesan atau tidak?
Dalam pada itu, penganalisis politik Mujibu Abd Muis berkata formula ingin menjadi pendamai antara Bersatu dan Umno yang dilakukan oleh PAS tidak akan berhasil melainkan PH sudah memenangi PRU15.
Disebabkan itu, penilaian semula akan dibuat selepas PRU15.
Sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU15, besar kemungkinan ketiga-tiga parti politik itu akan bergabung semula.
Sementara itu, Atory menegaskan terdapat 28 kerusi yang mempunyai majoriti Melayu dalam lingkuangan lebih 50%.
Ini bermakna, katanya, PH mempunyai peluang untuk menang jika pertembungan tiga penjuru bersama BN dan PN.
“Tapi kalau Umno, PAS dan Bersatu berkerjasama hanya di 28 kerusi itu saja, ada harapan Umno atau Bersatu (salah satu bertanding) akan menang. Dengan syarat Umno dan PAS undi calon Bersatu atau Umno yang diletakkan untuk bertanding.
“Persoalannya, mahukah Umno dan Bersatu setuju dengan formula ini?”
Sebelum ini, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menyifatkan PAS gagal memenuhi tuntutan syarat bagi menjalinkan kerjasama menuju PRU15.
Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat utama kepada PAS iaitu perlu keluar daripada gabungan PN serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.
Beliau berkata, PAS juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu sekiranya mahu bekerjasama dengan Umno.