UMNO Yang Menyusahkan Rakyat Buat PRU-15 Semasa Musim Banjir

UMNO Yang Menyusahkan Rakyat Buat PRU-15 Semasa Musim Banjir

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membidas UMNO yang sepatutnya dipersalahkan kerana mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semasa rakyat sedang berdepan kesusahan akibat bencana banjir.

Samsuri yang juga Naib Presiden PAS itu menjawab kritikan pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dibubarkan serentak dengan PRU-15 sebaliknya pilihan raya negeri akan diadakan secara berasingan.

“Siapa yang mula-mula nak buat pilihan raya dalam keadaan menyusahkan rakyat yang mana mereka tahu bahawa negeri-negeri tidak berhajat mengadakan pilihan raya dan telah dimaklumkan kepada mereka termasuk negeri-negeri daripada PH (Pakatan Harapan).

“Jadi bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat untuk buat pilihan raya tetapi mereka nak buat juga, jadi mereka sebenarnya yang mengheret rakyat kerana memenuhi kehendak peribadi beberapa pemimpin mereka yang ada agenda peribadi bukan agenda rakyat atau negara.

“Jadi mereka yang sepatutnya bertanggungjawab kerana mengheret rakyat (mengadakan pilihan raya),” katanya dipetik laporan BH.

UMNO terdahulu mendakwa sekiranya diadakan pilihan raya secara berasingan ia bakal menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menanggung kos lebih tinggi.

Malah, UMNO yang mengambil keputusan mengadakan PRU-15 secara tergesa-gesa walaupun menyedari negara bakal berdepan bencana banjir juga disifatkan tidak mempunyai hati perut kerana mengabaikan kepentingan rakyat.

Pilihanraya