Selepas Ucapan Zahid, Mufti Perlis Bimbang Malaysia Jadi ‘Syurga Rasuah’

Selepas Ucapan Zahid, Mufti Perlis Bimbang Malaysia Jadi ‘Syurga Rasuah’

Selepas tular kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan MIC baru-baru ini, Mufti Perlis melahirkan kebimbangan jika selepas ini negara akan menjadi ‘syurga rasuah’.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak percaya kenyataan tersebut dikeluarkan oleh seorang Presiden UMNO yang mengesahkan tujuan pilihan raya diadakan adalah semata-mata untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada kesalahan dilakukan dan bukannya demi rakyat.

“Terkesima mendengar, bagaimana secara terang orang politik boleh mengaku tujuan untuk menang PRU (pilihan raya umum) adalah bagi mengelakkan kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Walaupun Asri tidak secara jelas menamakan individu dimaksudkannya dalam ciapan tersebut, namun baru-baru ini tular satu video ucapan Zahid di hadapan penyokong parti Barisan Nasional (BN) yang seakan memberi gambaran senario buruk bakal dihadapi pemimpin mereka jika kalah pada PRU-15 nanti.

Zahid semasa ucapan tersebut berkata jika BN kalah pada PRU-15, situasi lebih buruk bakal dihadapi berbanding semasa PRU-14 lalu dan tidak menolak bakal didakwa di mahkamah nanti jika kalah pilihan raya.

Menurut Asri lagi, jika senario tersebut berlaku apabila BN menang besar, dibimbangi nanti Malaysia bakal menjadi ‘syurga rasuah’.

“Jika itu berlaku, negara ini akan jadi syurga rasuah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, selepas kenyataan itu menjadi tular, Zahid tampil menafikan kononnya ucapan tersebut “diputar belit” untuk mengelirukan orang ramai.

Kata Ahmad Zahid, ucapannya itu sebenarnya merujuk kepada pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih di mahkamah.

Isu Semasa