Dalam masa kita berkempen, kita akan bertemu dengan golongan musuh yang kita kenal, yang akan menyerang agresif jemaah kita.
Sebagaimana nasihat pimpinan, jaga adab, walaupun mungkin juga kita hilang sabar.
Kita lawan mereka dengan bersungguh-sungguh.
Kita juga akan bertemu dengan golongan yang menyerang kita, tetapi tidak mahu mengaku jemaah mana.
Kononnya tidak berparti, tetapi peliknya, serangan mereka itu hanya kepada PAS.
Apa sahaja yang PAS buat salah dia kutuk, tetapi kejayaan baik PAS, tidak pernah dia puji.
Usahlah dilayan sangat orang yang begini.
Islam mengajar manusia mesti berkumpulan, tiada yang boleh bersendirian.
Jadi, jika mereka dari jemaah yang benar, kenapa harus disembunyikan identiti jemaah mereka.
Rasulullah mengajar supaya kita menghebahkan kebenaran, ajak manusia ke syurga dengan Islam.
Tetapi mereka pula tidak mahu menunjukkan siapakah ketua mereka yang sangat mulia itu.
Mesti ada yang tidak kena.
Ada juga yang menyerang PAS secara berseorangan dan mungkin dia adalah bekas dari pimpinan PAS dahulu.
Dia ini adalah beban sampah yang tidak berguna untuk kita pikul.
Lupakan, tinggalkan dia di tepi jalan, nanti lori sampah akan mengangkutnya.
Kecuali dia mengumumkan dia bersama siapa, barulah kita melayan atau melawan dia dan jemaah barunya itu.
Tidak lupa yang biasa terjadi adalah dari kalangan yang mengaku rakan kita sendiri yang tiba-tiba cuba memperbetulkan ahli-ahli sendiri dengan sindiran atau menyebut dosa-dosa kita, sedangkan kita sibuk berperang, dia pula seperti tiada kerja lain.
Yang dia serang, sesama sendiri.
Ini tidak kena, itu tidak betul.
Spesis sebegini menjadi juru kritik kepada keputusan pimpinan, kerja buat ahli, sedangkan dia sendiri, tiada dalam mana-mana jawatankuasa parti, tidak menyumbang, malah dia bersuara sumbang.
Apabila kita kalah, mereka akan kata, ‘kan aku dah cakap…..’.
Bila menang pula, dituduh pula para pejuang bekerja untuk mendapat habuan.
Konon dia seorang yang cerdik, dia seorang yang beriman dan ikhlas.
Yang lain bodoh dan gila jawatan.
Lupakan yang semua spesis ini.
Mereka hanya pengganggu kepada fokus kempen kita.
Mereka bukan masalah besar, hanya lalat yang mengacau.
Kita perlu berlawan dengan musuh yang lebih besar.
Tidak berbaloi bercakaran dengan mereka ini.
Selain kecil, mereka tiada membawa apa-apa keuntungan kepada Islam yang PAS bawakan.
Kita mesti ingat, kita melawan musuh untuk memenangkan Islam, bukan untuk pimpinan, tidak juga bagi diri ataupun kerana perkara lain.
Ia hanya kerana Allah, asbab kita yakin, kita terlalu berbeza dari parti lain.
Parti PAS membawa Islam, kita sebagai pengusungnya, mengangkat agama Allah.
Tiada dalam parti lain.
Amat yakin kita, semuanya akan berpahala, ada balasan dari Allah pada sedekah kita, doa kita, tulisan kita, video kita dan segalanya bagi perjuangan ini.
Sematkan dalam hati sanubari kita semua akan niat itu.
Mohd Nasir Abdullah