Tolak PH Yang Menolak Islam

Tolak PH Yang Menolak Islam

Kebimbangan yang dibangkitkan oleh Tuan Guru Presiden berkenaan ancaman Pakatan Harapan terhadap Islam menjadi hujah besar untuk umat Islam menolak PH.

Umum mengetahui bahawa PAS ialah sebuah jemaah yang menjadikan Islam sebagai dasar.

Maka, tidak pelik bila mana PAS begitu lantang menolak Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP yang agresif menunjukkan penentangan terhadap Islam.

Berbeza dengan PAS, DAP merupakan sebuah parti yang tercatat di dalam perlembagaannya akan agenda sekular.

Perkara 4 matlamat-matlamat DAP menyebut bahawa parti itu bermatlamat untuk ‘Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi’.

Ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman telah termaktub jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun malang buat kita apabila PH yang diisi oleh DAP ini memilih untuk lupa diri dan cuba mencabar Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Penolakan dan sikap pengabaian DAP-PH terhadap Islam di Malaysia tidak lagi asing.

Mereka dengan berani mencampuri urusan umat Islam dari sebesar-besar isu seperti murtad dan akta syariah sehinggalah pada perkara lazim seperti azan dan khutbah Jumaat.

Pada 2014, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan telah meminta umat Islam di negara ini diberi kebebasan dan menghormati mereka yang murtad.

“Saya berharap orang Islam boleh terima peruntukan 11(1) yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama itu oleh orang perseorangan.” -Ngeh Koo Ham

Walhal dalam Perlembagaan yang sama Perkara 11 (4) menyatakan undang-undang boleh diperkenalkan untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan penganut Islam.

Tidak cukup dengan isu aqidah, PH juga lantang mempertikaikan institusi agama dan ibadah umat Islam.

Lim Kit Siang bahkan pernah menuduh khutbah Jumaat menjadi penyebar kebencian.

Sedangkan dalam teks khutbah itu menyebut tentang umat Islam kini telah ditipu oleh ‘musuh-musuh Islam’ iaitu Kristian dan Yahudi dengan berkembangnya aktivisme hak asasi manusia di Malaysia.

Ini adalah kebenaran yang disebut di dalam al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam.

Lim Kit Siang tidak perlu mencampuri urusan umat Islam dengan menimbulkan sentimen persengketaan agama.

Kenapa DAP perlu pertikai?

Adakah DAP cuba melindungi usaha jahat menyebarkan doktrin menolak Islam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular seperti yang termaktub dalam Perlembagaan DAP?

Sedarlah wahai rakyat Malaysia, jika kita tidak menolak PH ibarat kita mengiktiraf pengkhianatan mereka terhadap negara kerana tindakan-tindakan mereka yang jelas mengancam autoriti utama ketua Negara.

Tolak Pakatan Harapan. Sokong mereka yang memperjuangkan Islam.

Pilihanraya