Saya terpanggil untuk menulis sedikit berhubung pertemuan PAS – UMNO baru-baru ini yang menjadi sedikit polemik.
Sehingga ada yang mencari siapa pembohong dan siapa menipu.
Selaku ketua sayap pemuda, walaupun saya tidak terlibat dalam perbincangan-perbincangan ini, tetapi semua butiran A-Z dimaklumkan kepada kami ahli Jawatankuasa Harian PAS.
Ia dimaklumkan sejurus berakhir mana-mana perbincangan, tiada yang disembunyikan.
Mari saya nyatakan 7 fakta:
1. Pertemuan Presiden & Timbalan Presiden UMNO bersama Presiden & Timbalan Presiden PAS, telah berlangsung pada Rabu 12 Oktober. Hanya empat pemimpin ini sahaja yang terlibat dalam perbincangan.
2. Ditularkan gambar tujuh orang yang hadir. Sedangkan gambar di meja makan tersebut adalah ketika tetamu sampai, semuanya duduk berbual sekitar sepuluh minit.
3. Selepas itu tiga orang yang lain pun beredar, tinggallah empat orang pimpinan – Presiden & Timbalan Presiden PAS dan UMNO, berbincang sekitar satu jam. Kekanda saya Asyraf juga berada di luar sepanjang perbincangan.
4. Hadirnya Presiden PAS adalah untuk menyelami hati budi UMNO, dan mendengar apakah syarat-syarat yang bakal diletakkan Presiden UMNO. Timbalan Presiden PAS pula hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan.
5. Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan. Namun tempoh singkat diberikan kepada Presiden PAS untuk memuktamadkan keputusan, iaitu Jumaat 14 Oktober (dua hari).
6. Esoknya Khamis 13 Oktober, Mesyuarat PAS Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal Perdana Menteri. Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum – apakah maslahahnya, apakah mudharatnya. Yang timbul adalah soal nasib – bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena ‘charge’ esok, siapa kena ‘charge’ lusa) – tetapi nasib agama, bangsa, dan negara.
7. Usai musyawarah hampir empat jam, maka keputusan muktamad telah dicapai. Dipersetujui, diperkukuhkan PN hadapi PRU, penyatuan ummah yang terbuka tetap diteruskan. Objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara, daripada terjarah di bawah PH yang lebih besar mudaratnya.
Sekianlah sedikit fakta untuk diperbetulkan, bagi menjernihkan sedikit kekeruhan yang diperlihatkan.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Biduk lalu, kiambang bertaut.
Saya bersaksi bahawa, Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS telah bercakap benar, tidak berbohong, dan tidak pernah memungkiri janji.
Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Pemuda PAS