Gelap, Keruh Dan Kelompok Makan Durian Mentah

Gelap, Keruh Dan Kelompok Makan Durian Mentah

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberikan hujah yang tegas dan jelas kenapa PAS membuat keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN), menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Abdul Hadi berkata, di dalam PH terdapat DAP dan pelbagai kelompok yang bertentangan dengan pendirian dan perjuangan PAS.

‘’Di dalamnya ada DAP, ada parti orang Melayu, puak tolak Islam, puak LGBT, puak komunis, puak khianat, puak pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Puak yang beri rasuah, tolong PH, yang terima rasuah ada juga… puak komunis pun ada, puak tolak raja pun ada,’’ dakwanya.

Mengenai BN, bekas Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS menangguhkan kerjasama dengan parti itu kerana terdapat kekeruhan dalam gabungan itu antaranya golongan pemberi rasuah yang belum diselesaikan.

“Kita tahu penerima rasuah ni ada dituduh, tak bersalah, difitnah macam-macam. Tapi tak selesai lagi. Penerima rasuah masih ada dalam BN. Kemudian cuai melaksanakan Islam. Dia orang Islam, dia memerintah dekat 50 tahun, cuai melaksanakan Islam.’’kata beliau.

Kata Abdul Hadi lagi, kekeruhan yang ada di dalam BN juga ditambah oleh sikap tidak sabar dan rakus hendak memerintah, sedangkan masalah disebutnya itu tidak diselesaikan dan PAS sudah menolong menjatuhkan kerajaan PH.

‘’Gopoh sangat nak kuasa, orang kata nak musim banjir, bubar Parlimen jugak, sebab nak menang ‘deras’, nak dapat kuasa, ajak PAS ikut sama, PAS tangguh dulu.. kita sabar… terpaksa hadapi pilihan raya, hadap pilihan raya, usahakan jernih keadaan, cegah pemberi, penerima rasuah,’’ katanya.

Apa yang disampaikan oleh Abdul Hadi harus diterima oleh keseluruhan kepemimpinan dan ahli PAS.

Abdul Hadi bukannya membuat keputusan secara individu sebaliknya diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat.

‘Kegelapan’ dalam PH dan ‘kekeruhan’ dalam BN yang disentuh oleh Abdul Hadi tidak ada dalam PN.

“Yang ada dalam PN ialah ketegasan menentang rasuah dan keprihatinan terhadap nasib rakyat.

Tetapi malangnya dalam PAS ada kelompok yang ‘kepanasan’ dengan pendirian kepemimpinan PAS memilih PN berbanding BN khususnya UMNO.

Mereka tidak mengkaji apa yang Abdul Hadi katakan, sebaliknya hanya memikirkan keuntungan politik sahaja dalam bahasa mudah boleh menang kerusi lebih banyak kerusi dengan BN berbanding dengan PN.

Inilah kelompok yang dinasihatkan oleh Abdul Hadi, ‘’Janganlah kait durian cepat sangat”.

”Walaupun ini lebih payah, lebih senang dengan UMNO boleh menang cepat, orang ramai sokong tapi kita tak gopoh… macam buah durian.. jangan kait cepat sangat.. kalau kait cepat sangat tak masak lagi, kembung perut, bagi masak betul-betul dulu.

‘’Saya tahu ada orang PAS ini, tak tahan liur, nak makan peringat durian… durian mentah lagi… kena sabar dulu… kena masak molek dulu, ada ni… bukan yang jahil… yang alim pun ada… dia tak boleh baca politik… saya boleh baca politik, saya mengaji politik, ada yang alim dia tak baca politik, dia baca kitab aje,’’ katanya.

Anehnya kelompok tersebut, bercakap soal penyatuan ummah. Tetapi konsep penyatuan ummah mereka dipengaruhi tafsiran yang dibuat oleh pemimpin UMNO iaitu hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja, jadi bagaimana dengan Bersatu?

Adakah Bersatu tidak layak diajak bersama untuk penyatuan ummah?

Apakah tanpa Bersatu dalam penyatuan itu, tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang akan memberi keuntungan kepada PH?

Apakah kerana mahu memenangi lebih banyak kerusi sekaligus menjadi kerajaan dan berpeluang duduk di atas kerusi empuk menteri, segala hujah yang diberikan oleh Abdul Hadi yang melibatkan BN dan UMNO harus diketepikan begitu sahaja?

Kenapa berasa tidak tenteram dengan keputusan kepemimpinan parti?

Bukankah ahli-ahli PAS terkenal dan dihormati sebagai kelompok yang taat dengan keputusan parti?

Kepada kelompok berkenaan, janganlah dilihat terlalu memandang rendah kepada PN khususnya Bersatu.

Penulis tahu kelompok tersebut tidak yakin bekerjasama dengan PN akan membolehkan mereka mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Mereka pun sudah terpengaruh dengan cakap-cakap bahawa rakyat kini kembali menyokong BN, oleh itu PAS sepatutnya ‘tumpang sekali’.

Tetapi mereka tidak terfikir atau buat-buat tak nak fikir ‘kekeruhan’ yang ada kepada BN sepertimana disebut oleh Abdul Hadi akan menjadi ‘pemusnah’ kepada impian BN untuk kembali berkuasa.

Kelompok mahu ‘makan durian mentah’ perlu berhati-hati.

Gelanggang pilihan raya sudah dibuka dan sekarang adalah masa untuk melaksanakan keputusan parti, bukannya mewujudkan kekeliruan sehingga menyebabkan ‘kekeruhan’ yang akhirnya membawa ‘kegelapan’ kepada kesepakatan dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU-15.

Zulkiflee Bakar

Pilihanraya