Belum pun kerajaan Keluarga Malaysia yang disertai pelbagai parti bertukar, media arus perdana nampaknya kembali semula ke era gelap di zaman Barisan Nasional (BN).
Perubahan itu dapat dikesan terutamanya TV3 dan saluran televisyen lain, seolah-olah kembali semula ke era sebelum 2018.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, nampaknya kebelakangan ini siaran berita televisyen lebih cenderung hanya menyiarkan berita berkaitan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya perubahan secara drastik itu dapat dikesan kebelakangan ini ketika kerajaan campuran masih wujud.
“Kami menjangka akan bertambah lagi sorotan yang berpihak sebelah dilakukan media arus perdana selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan SPR Khamis ini.
“Kelantan pastinya sudah biasa dengan keadaan sebegini. Berpuluh tahun dinafikan banyak perkara termasuk mendapat tempat di televisyen,” katanya di sini.
Menurutnya juga lebih teruk lagi Kelantan sentiasa dihitamkan warnanya di mata rakyat Malaysia bagi mendapat maklumat sebenar.
Oleh itu katanya Pemuda PAS negeri kesal atas siaran berpihak stesen televisyen.
“Kami mengajak anak-anak muda menolak perbuatan tidak sihat ini. Politik negara perlu dibebaskan daripada sentimen kepartian. Lagi pun alternatif begitu banyak di media sosial yang boleh dimanfaatkan anak muda.
“Atas nama penyatuan ummah yang memegang prinsip menyatukan semua pihak ke arah membentuk Malaysia Sejahtera, kita tolak permainan kotor media arus perdana,” ujarnya.