Firma penyelidikan O2 Research Malaysia (O2) melaporkan ramai pengundi Barisan Nasional (BN) kini sudah beralih menyokong parti lain, dengan sesetengahnya kembali menjadi ‘pengundi atas pagar’.
Kajian itu juga mendapati 43 peratus pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan membuat pilihan calon atau parti pada saat akhir iaitu ketika hari pengundian 19 November ini.
Difahamkan, ramai pengundi BN telah beralih menyokong parti lain, terutama Perikatan Nasional (PN), khususnya setelah bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, dihantar menjalani hukuman penjara.
Selain itu, mereka juga terkesan dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung RM31 juta dana Yayasan Akalbudi, 27 pertuduhan pengubahan wang haram, dan lapan pertuduhan rasuah atas penerimaan RM21.25 juta.
Kes-kes melibatkan pemimpin UMNO dan BN yang dituduh di mahkamah juga mempengaruhi pengundi hingga mereka hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Sementara itu, Ketua Penyelidik O2, Anis Anwar Suhaimi berkata kajian pihaknya menunjukkan jumlah pengundi atas pagar kini semakin besar berbanding hanya 10 peratus pada PRU-14, susulan tindakan ramai penyokong BN beralih menyokong parti lain.
Beliau berkata, kajian O2 juga menunjukkan 28 peratus responden sudah ada kecenderungan terhadap sesebuah parti, namun mereka masih terbuka untuk menukar haluan dan mengundi parti lain.
“Sebanyak 51 peratus pengundi atas pagar berkenaan adalah daripada kelompok pengundi berusia bawah 30 tahun, majoriti mereka merupakan pengundi pertama kali pada PRU-15.
“Kebanyakan mereka dipercayai sukar memahami perkembangan politik tanah air yang semakin rumit selepas PRU14.
Situasi yang kurang jelas dengan pendedahan politik yang minimum menjadikan mereka masih berkira-kira parti manakah yang terbaik sebagai pilihan untuk mentadbir Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Pengundi atas pagar yang semakin besar memperlihatkan semangat keterikatan dan kesetiaan kepada parti semakin longgar dan ini memberi cabaran kepada parti-parti untuk mengekalkan tabung undi mereka,” katanya kepada Sinar Premium.
Bagaimanapun, Anis berkata, saiz pengundi atas pagar kini berperanan besar dalam mempengaruhi peluang kemenangan sesebuah gabungan parti politik.
“Penglibatan mereka sama ada untuk turun mengundi atau sebaliknya bakal mempengaruhi peluang kemenangan sesebuah parti.
“Oleh sebab sikap politik yang masih sukar untuk dinilai, parti-parti yang bertanding terpaksa berusaha keras dan tidak boleh selesa dengan sokongan semasa.
“Disebabkan itu, golongan ini tanpa sedar atau tidak sebenarnya memiliki suara tuntutan signifikan untuk didengari dan wajar dirunding oleh parti-parti politik,” katanya.
Menurut Anis, antara isu yang mempengaruhi golongan pengundi atas pagar termasuklah soal kestabilan politik, ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat.
“Dalam mempertimbangkan parti yang boleh membuat tawaran lebih baik kepada mereka, isu-isu awam berpotensi menjadi faktor utama.
“Antaranya isu sosial yang melibatkan gejala sosial dan penderaan domestik, isu alam sekitar dan juga peluang pekerjaan bagi orang muda,” katanya.