MIC Mungkin Boikot BN, Marah Kepada Zahid Isu Calon, Kerusi

MIC Mungkin Boikot BN, Marah Kepada Zahid Isu Calon, Kerusi

Pertikaian melibatkan kerusi Parlimen mengancam peluang Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pada 19 November ini, dengan parti komponennya MIC mungkin memboikot pilihan raya itu.

Memetik Malaysia Insight, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran memberitahu bahawa kepimpinan MIC telah memanggil mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat (CWC) pagi esok, untuk membincangkan kemungkinan tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Beberapa sumber parti turut mengesahkan bahawa mereka akan menghadiri mesyuarat itu pada jam 10 pagi di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, tetapi tidak pasti apa yang berlaku.

Khabar angin mengatakan bahawa MIC enggan menerima sebarang kerusi kerana berlaku beberapa perubahan tempat calon mereka.

Ini termasuk kerusi tradisi mereka di Parlimen Sungai Buloh mungkin ditandingi Khairy Jamaluddin daripada UMNO.

Untuk memperkuatkan lagi spekulasi itu, Agenda Daily mendapati Vigneswaran serta pemimpin kanan MIC juga tidak hadir pada majlis pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam ini.

“MIC mengugut supaya UMNO memberi mereka lebih kerusi sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

“Pemimpin MIC telah memanggil satu mesyuarat tergempar CWC pagi esok,” kata sumber.

MIC menjangkakan untuk bertanding di 10 kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun nampaknya UMNO kini memutuskan untuk menawarkan hanya lima kerusi Parlimen, menurut sumber.

Perbalahan dalam BN nampaknya semakin memuncak berikutan laporan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingkari ikrarnya untuk terus menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya BN memenangi pilihan raya ini.

Calon yang dikaitkan dengan Ismail Sabri juga dikatakan digugurkan daripada barisan parti.

Pilihanraya