BN Pula Tukar Calon Setelah PN Letak Tuan Ibrahim Di DUN Cheka

BN Pula Tukar Calon Setelah PN Letak Tuan Ibrahim Di DUN Cheka

Selepas 24 jam Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan nama calon yang akan bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), nama calon untuk DUN Cheka ditukar pada saat akhir.

Ia dilakukan setelah Perikatan Nasional (PN) meletakkan Menteri Alam Sekitar dan Air yang juga Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Sebelum ini, pada PRU-14 lalu, BN meletakkan wakil MCA Lee Ah Wong bertanding di kerusi DUN Cheka.

Beliau menang dengan majoriti 202 undi apabila memperoleh 3,475 undi, mengalahkan calon PAS (3,273 undi) dan calon PKR (2,930 undi).

Difahamkan, BN bakal meletakkan calon daripada UMNO di kerusi DUN Cheka supaya mampu memberi saingan kepada Tuan Ibrahim yang turut diuar-uarkan sebagai Menteri Besar (MB) Pahang sekiranya PN menang besar dan mentadbir negeri itu.

Kawasan majoriti Melayu itu dikatakan dapat memberikan laluan mudah kepada Tuan Ibrahim yang dikenali penduduk di situ kerana berasal dari Kampung Batu Balai Jerantut bersempadan kawasan DUN Cheka.

Sebelum ini, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifudin Abdullah berkata calon MB biasanya akan dipilih daripada parti yang mampu memenangi banyak kerusi DUN dalam PRU.

“Kita sudah ada calon Menteri Besar Pahang dan tentunya bukan saya sebagai Pengerusi PN Pahang… itulah cantiknya PN, saya pengerusi parti, Bersatu tidak tanding paling banyak kerusi dan saya bukan calon MB,” katanya.

Untuk rekod, PAS akan bertanding di 24 kerusi DUN Pahang, berbanding Bersatu (13 kerusi) dan Gerakan (lima).

Pada PRU-14 lalu BN menang di 25 kerusi, PKR (sembilan) dan PAS (lapan).

Sebelum ini, PKR merancang menukar calonnya di Parlimen Sungai Buloh, Selangor, setelah BN meletakkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di kawasan itu.

Pilihanraya