Tinjauan pendapat terkini Pusat Kaji Selidik Merdeka Centre mendapati lebih ramai rakyat Malaysia, terutama pengundi yang berusia 18 tahun dan ke atas berpuas hati kepemimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbanding empat pemimpin lain.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memperoleh markah tertinggi sepanjang masa ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini dan sehingga tempoh kajian ‘tahap kepuasan hati’ berakhir pada Oktober 2022.
Beliau memperoleh tahap puas hati antara 46 peratus hingga 93 peratus, menurut laporan kajian yang diterbitkan hari ini (Jumaat, 4 November 2022).
Merdeka Centre meletakkan lima pemimpin untuk kajian kepuasan hati pengundi sepanjang tempoh Januari 2020 hingga Oktober 2022. Mereka ialah Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mohamad Hasan; Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kajian ‘Penilaian Pemimpin’ mendapati pengundi berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin, mengatasi empat pemimpin lain, walaupun peratusannya turun naik, tetapi tahap puas hati mengatasi tidak puas hati.
Tahap kepuasan tertinggi diperoleh Muhyiddin adalah pada Mei 2020 iaitu 93 peratus, berbanding Ismail Sabri (62 peratus); Anwar (29 peratus); dan Zahid (21 peratus).
Kajian bagi tempoh sama antara Januari 2020 hingga Oktober 2022 juga mendapati Zahid berada pada kedudukan tercorot sepanjang masa daripada senarai puas hati.
Peratusan tidak puas hati terhadap Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah antara 55 hingga 76 peratus, berbanding puas hati antara 9 hingga 22 peratus.
Rakan baik yang juga cikgu kepada Zahid, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat kedua selepas anak muridnya itu di mana markah tidak puas hati lebih tinggi daripada puas hati.
Seperti Zahid, Anwar juga memperoleh markah tidak puas hati sepanjang masa dari Januari 2020 hingga Oktober 2022.
Anwar mendapat peratusan tidak puas hati antara 45 peratus hingga 61 peratus, berbanding puas hati antara 20 dan 34 peratus.
Ismail Sabri pula menduduki tempat kedua selepas Muhyiddin dengan mencatat tahap puas hati antara 35 dan 62 peratus, manakala antara 21 hingga 46 peratus, tidak puas hati.
Sementara itu, tahap puas hati terhadap Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN adalah antara 32 hingga 42 peratus, manakala tidak puas hati mencatat antara 25 hingga 32 peratus iaitu bagi tempoh Mac, Mei, Jun dan Disember 2021, serta pada Julai dan September 2022.
Muhyiddin juga memperoleh tahap kepuasan hati sepanjang masa yang lebih tinggi berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ismail Sabri ketika masing-masing menduduki kerusi Perdana Menteri.
