Jangan pandai kata pemimpin UMNO sahaja ada jasa kepada penduduk Kemaman sehingga menafikan jasa orang lain.
Jangan tutup jasa YB Ustaz Che Alias Hamid kerana nak tonjol jasa Mat Said dan Shabery Cheek.
Mereka semua ada jasa sebagai pemimpin.
Kalau tidak bekerja untuk rakyat, baik jangan jadi wakil rakyat.
Mungkin orang-orang UMNO tak mengikuti kerja buat YB Ustaz Che Alias Hamid.
Jadi penulis kongsikan sebahagian daripada jasa lebai ini sepanjang menjadi Ahli Parlimen dalam masa 4 tahun.
Antaranya, RM14 juta digunakan untuk menambah dan membaikpulih prasarana di sekolah-sekolah dan masjid serta membaiki jalan di sekitar Kemaman.
Ini termasuk pembinaan dewan SMK Badrul Alam Shah, Kemasik.
Sekolah ini tidak ada dewan sejak 50 tahun sepanjang BN memerintah.
Begitu juga dewan SK Seri Iman yang berjaya disiapkan dengan usaha beliau.
Tak perlu mengambil masa sehingga 50 tahun; dalam masa 2 tahun sahaja, YB Ustaz Che Alias jadi Ahli Parlimen, sebuah dewan tersergam indah terbina untuk kegunaan warga sekolah tersebut.
Ustaz Che Alias juga dilantik sebagai Pengerusi Pelabuhan Kemaman.
Ingatkah kita akan nasib Pelabuhan Kemaman ketika PAS memerintah Terengganu 1999-2004?
Siapa yang sabotaj Pelabuhan Kemaman dengan cara memindahkan sebahagian operasi perkapalan dan perdagangan ke Pelabuhan Kuantan dengan tujuan melemahkan kerajaan PAS masa itu?
Samalah dengan royalti petroleum yang dirampas dan diagihkan melalui pemimpin UMNO/BN dalam bentuk Wang Ehsan.
Inilah sejarah bagaimana brutal dan barbaric-nya UMNO Terengganu terhadap negeri dan bangsanya sendiri.
Kini Ustaz Che Alias sebagai Pengerusi Pelabuhan Kemaman berjaya meningkatkan lagi pembangunan pelabuhan air dalam terbaik di Pantai Timur tersebut.
Mulai 2018 sebanyak RM4 billion projek masuk ke Kemaman.
Antara projek terbesar ialah pembesaran Pelabuhan Kemaman dengan kos RM2.2 billion oleh syarikat JXR Manufacturing.
Xinyi Glass Holdings pula akan beroperasi di tapak Perwaja lama.
Kemasukan pelaburan tersebut akan membuka manfaat dengan tak kurang 5,000 peluang pekerjaan.
Untuk melancarkan mobiliti perdagangan antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman, kerajaan juga sedang merancang untuk membina jalan bypass dari Jambatan Geliga hingga Jambatan Bukit Kuang.
Di samping itu, projek perumahan rakyat termasuk rumah-rumah kos sederhana selain rumah mampu milik (RMM) juga akan dibina di kawasan Teluk Kalong.
Perlu diingat, YB Ustaz Che Alias baru 2 tahun menjadi Ahli Parlimen kerajaan; bukan 20 tahun atau 2 penggal.
Itupun termasuk musim COVID19.
Bayangkan kalau beliau terus dipilih untuk menjadi Ahli Parlimen selama 5 tahun lagi.
Yang untung ialah rakyat Kemaman kerana kita ada pemimpin yang mesra rakyat dan berintegriti.
Mungkin rakyat Kemaman dan rakyat Terengganu umumnya tidak menyedari banyak projek pembangunan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin PAS.
Kenapa? Kerana perangai PAS tak sama dengan mentaliti pemimpin UMNO.
Kita sentiasa lihat ketika UMNO/BN memerintah papan tender projek yang berbunyi, ‘Ini satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional’ dengan gambar dacingnya.
PAS tak pandai nak tulis ‘Ini satu lagi projek tok lebai’.
Mungkin faktor ini agaknya yang menyebabkan bilik perang UMNO tergamak menafikan kerja buat dan jasa Ustaz Che Alias dan pemimpin PAS yang lain.
Hanya rakyat yang celik mata hati dapat menilai.
Berilah peluang kepada PAS/PN untuk memerintah Malaysia pula agar rakyat Terengganu dan Kemaman khususnya dapat lihat apa yang PAS/PN mampu buat demi rakyat.
