Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perikatan Nasional menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk mencapai kemenangan mutlak dan tidak bercadang membentuk kerjasama dengan mana-mana parti lain bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berbincang membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau mana-mana parti lain, selepas PRU-15, Sabtu ini.
“Tujuan Perikatan Nasional bertanding dalam PRU-15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).
“Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.
“Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, Perikatan Nasional akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU-15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Takiyuddin berkata Perikatan Nasional berkemungkinan membentuk Kerajaan Persekutuan dengan BN jika kerusi yang dimenangi dalam PRU 19 November ini tidak mencukupi.
“Saya yakin kita dapat bentuk Kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN,” kata Takiyuddin.
Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga calon PAS bagi kerusi Parlimen Kota Bharu berkata Perikatan Nasional tidak akan menerima kerjasama dengan PH.
Takiyuddin juga dilaporkan berkata kerjasama dengan BN itu pernah disuarakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Pengerusi PN, sebelum ini.
“Presiden PAS ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas PRU kita boleh wujudkan hubungan itu,” katanya.
