PAS/PN akan menawan semua kerusi Parlimen pada PRU15 kali ini.
Ini meliputi 5 kerusi yang sedia disandang oleh PAS, 1 kerusi BERSATU iaitu Parlimen Hulu Terengganu, Parlimen Besut yang sebelum ini disandang oleh DS Idris Jusoh dan akan mengambil semula kerusi Kuala Nerus dari tangan at-Takiri.
Penulis meramalkannya berdasarkan 15 faktor yang dibahagikan kepada faktor UMNO dan faktor PAS.
Dan faktor-faktor ini kelihatan selari dengan situasi di lapangan dan culaan serta mood rakyat yang mula bimbang UMNO akan membentuk jajaran baru bersama DAP selepas PRU15 nanti.
Faktor UMNO:
i. Mat Said bukan seorang tokoh yang disenangi dalam kalangan pemimpin UMNO negeri.
Beliau pernah berseteru dengan Idris Jusoh.
Beliau juga pernah mengusulkan undi tidak percaya terhadap antan MB Ahmad Razif.
Ini menyebabkan kredibilitinya terjejas dan sokongan terhadap kepimpinannya tidak solid.
ii. Kekuatan UMNO tidak seperti ketika Gelombang Biru yang digerakkan oleh Idris Jusoh pada PRU11 (2004).
Cara Idris menggelombangbirukan Terengganu lebih bijak dan berstrategi; sesuatu yang gagal diikuti oleh Mat Said.
iii. Sebelum PRU11, walaupun PAS memerintah Terengganu tetapi UMNO/BN memerintah di peringkat Pusat.
PM Abdullah Ahmad Badawi yang baru naik pada tahun 2003 mempunyai aura sendiri kepada seluruh rakyat Malaysia ketika itu.
Tetapi bagi PRU15 ini, UMNO/BN dalam keadaan pincang setelah baru tumbang buat julung kalinya.
Tiada lagi tokoh bersih dan segar seperti Abdullah Ahmad Badawi.
iv. Dua dekad yang lalu, media massa dikuasai UMNO/BN.
Ketika itu belum ada media sosial seperti facebook, whatsapp, twitter dan seumpamanya.
Akhbar dan TV benar-benar dipergunakan oleh UMNO/BN dengan berita-berita bohong, fitnah dan propaganda.
Zaman sekarang, rakyat celik IT dan mempunyai pelbagai gajet.
Pagi keluar berita fitnah, petang rakyat dapat penjelasan.
Justeru, UMNO/BN telah kehilangan monopoli media.
v. Daftar pemilih PRU2004 merekodkan satu pertambahan pengundi baru yang paling tinggi peratusnya di Terengganu.
Ia seolah sesuatu yang telah dirancang secara licik oleh UMNO/BN dalam usaha mengambil semula Terengganu dari tangan PAS.
vi. Kewangan yang kukuh kerana faktor Wang Ehsan.
Kontraktor UMNO mendapat limpahan projek pembinaan yang besar-besar.
Kantung penuh dengan duit yang sebahagiannya mengalir kepada parti dalam bentuk sumbangan atau ‘10%’.
Banyak projek wang ehsan dijenamakan sebagai projek kerajaan Barisan Nasional.
Sekarang UMNO Terengganu terpaksa mengemis ihsan daripada Pusat.
vii. UMNO berpecah kepada BERSATU.
Beberapa orang tokoh besar UMNO termasuk TS Muhyiddin Yassin sendiri tersingkir dari UMNO.
Ini dikuti oleh beberapa orang Ahli Parlimen UMNO melompat ke BERSATU selepas PRU14.
Bukan kecil kesan negatif kepada UMNO/BN sebaliknya memberi nilai tambah kepada PAS apabila tertubuhnya Perikatan Nasional.
viii. Zahid Hamidi merupakan liabiliti bagi UMNO dalam PRU15 sepertimana Najib dengan kes 1MDB menjejaskan undi UMNO pada PRU14.
Kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh Zahid Hamidi dan beberapa orang lagi tokoh politik UMNO turut memberi kesan kepada pola pengundian di negeri Terengganu.
Najib pula sudah terbukti bersalah dan kini merengkuk di dalam penjara.
ix. Di sudut lain, pengundi UMNO dan pengundi atas pagar Melayu mula meragui kejujuran Zahid Hamidi.
‘No Anwar, No DAP’ dilihat sebagai satu pembohongan apabila Papagomo mantan exco pemuda UMNO sendiri mendedahkan hati perut Zahid.
Pengundi Melayu sukar menafikan bahawa jajaran baru bersama Anwar dan DAP akan diusahakan sekiranya UMNO/BN gagal menang secara solo.
Ini merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima oleh orang Melayu dan akar umbi UMNO.
Faktor PAS
i. Kejayaan PAS Terengganu melaksanakan semua 20 janji dalam manifesto menggamit keyakinan rakyat.
Sebahagian besar rakyat mendapat manfaat yang tak pernah diperoleh ketika UMNO/BN berkuasa seperti geran tanah, bantuan lesen motosikal, pencen rakyat, rawatan kelas tiga percuma dan banyak lagi.
ii. PAS berjaya membuka tanah kepada rakyat, menyelesaikan masalah tanah terkilan dengan memberikan geran-geran tanah kekal seperti dijanjikan.
Ada penyokong UMNO yang dijanjikan untuk diberi tanah oleh UMNO 30 tahun yang lepas tetapi janji tinggal janji.
Apabila PAS memerintah dalam tempoh 4 tahun sahaja, tanah dan geran kekal dapat dimiliki.
iii. Wakil-wakil rakyat PAS mesra dan prihatin rakyat.
Rakyat diutamakan terutama ketika musibah dan musim banjir.
Pelbagai bantuan barang keperluan, pembersihan premis dilakukan oleh Unit Amal dan Ameerah PAS.
Wakil rakyat PAS tiada masa untuk ke padang golf, melancong atau bersantai di rumah hinggap di ibukota seperti yang dilakukan oleh sesetengah wakil rakyat UMNO.
iv. Kerajaan PAS berintegriti dalam melaksanakan amanah pentadbiran.
Ini menyebabkan rakyat memandang hormat dan tiada isu yang boleh dimainkan oleh UMNO/BN.
UMNO ketinggalan jauh dalam bab integriti.
v. Menteri-menteri PAS yang berada dalam kabinet PM Muhyiddin Yasin dan PM Ismail Sabri menunjukkan kemampuan mentadbir dengan cemerlang walaupun berstatus ‘lebai’.
Ini telah meruntuhkan tembok pesimistik yang berstigma dalam minda masyarakat yang sebelum ini merasakan pemimpin PAS hanyalah lebai-lebai kampung yang layak memberi kuliah agama sahaja.
vi. PRU kali ini PAS juga mendapat suntikan sokongan daripada BERSATU dan GERAKAN yang sama-sama bergerak dalam pasukan Perikatan Nasional.
Walaupun BERSATU dan GERAKAN tidak sekuat mana tetapi undinya amat membantu untuk PN menang di Hulu Terengganu dan 7 lagi Parlimen yang lain.
PAS/PN juga mampu menarik sebahagian undi UMNO di Besut apabila Idris Jusoh tidak lagi mempertahankan hegemoninya.
Memadai 15 faktor di atas menjadi sandaran mengapa dijangkakan PAS/PN mampu memenangi semua 8 kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15 ini.
Adapun ilmu Allah itu lebih meliputi dan kehendak Allah itu tiada siapa mengetahui.
