Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini begitu mengejutkan apabila calon PERIKATAN NASIONAL Kuala Krai yang diwakili Abdul Latiff Abdul Rahman turut mendapat sokongan penyokong Barisan Nasional (BN).
Ahli dan penyokong MIC turut memberi sokongan kepada calon PAS terbabit sebagai menghargai kesungguhan Abdul Latiff membangunkan Kuala Krai.
Pemimpin masyarakat India di Pasir Kelang, Jaya Kumar, berkata sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap calon PERIKATAN NASIONAL dijangka meningkat pada PRU kali ini.
Katanya, situasi itu dibuktikan apabila pos PAS yang dikendalikan masyarakat India di Kampung Pasir Kelang dihadiri ramai penduduk tempatan.
“Sedangkan ketika peringkat awal dibuka hanya beberapa orang sahaja datang, namun kini kehadiran meningkat berkali ganda sebagai menyokong calon PERIKATAN NASIONAL.
“Ketika perasmian pos tersebut oleh Ustaz Latiff baru-baru ini, ramai masyarakat India hadir termasuk penyokong kuat MIC. Mereka menyatakan sokongan kepada Ustaz Latiff,” katanya di sini.
Oleh itu beliau yakin akan berlaku pertambahan undi untuk calon PAS di Unit Daerah Mengundi (UDM) berkenaan berbanding sebelum ini.

Pasir Kelang merupakan penempatan terletak di seberang Sungai Kelantan yang hanya boleh dihubungi dengan feri atau bot.
Sebahagian penduduk kaum India yang bekerja sebagai penoreh getah.
Abdul Latiff sebelum ini kerap kali mendesak kerajaan Persekutuan membina jambatan merentangi Sungai Kelantan bagi kemudahan rakyat.
Sekarang usaha itu menjadi kenyataan apabila projek pembinaan jambatan yang bernilai kira-kira RM25 juta dimulakan Ogos lepas.
Mengikut jadual pembinaan jambatan tersebut mengambil masa dua tahun enam setelah semua proses pengambilan tanah di Kuala Nal dan Pasir Kelang selesai.
