Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA hari ini (20 November 2022) mengingatkan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN.
Pada masa sama, pemimpin MCA dan MIC turut mendesak Zahid meletak jawatan sebagai Pengerusi BN susulan prestasi teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.
Mereka juga terkejut dan kecewa apabila Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan malam ini, ketika keadaan politik negara kucar-kacir.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dalam kenyataan hari ini mendesak Zahid meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN secara terhormat setelah parti itu hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.
“Pada masa keadaan politik negara masih tidak stabil dan tidak menentu selepas PRU15, keperluan Mesyuarat Dewan Tertinggi adalah amat terdesak untuk membincangkan situasi politik terkini dan membuat keputusan BN sebagai satu blok.
“MCA mengambil pendirian tegas bahawa tiada mana-mana pihak berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya.
Beliau berkata seorang pemimpin baharu yang menjawat jawatan pemangku Pengerusi BN perlu memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi dengan segera.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC K Raven Kumar berkata sudah tiba masanya Zahid berundur daripada memimpin BN.
“Berundurlah dengan hormat demi kelangsungan parti. Tindakan ini akan memberi peluang BN pulih dan kembali relevan untuk rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa anak muda masih melihat BN berada dalam cengkaman kluster mahkamah.