“Biarpun ahli itu berdepan tindakan pemecatan, statusnya sebagai Ahli Parlimen (MP) tidak gugur,” kata penganalisis politik yang juga pengamal undang-undang ketika mengulas sokongan diberikan secara individu oleh MP Barisan Nasional (BN) kepada Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Selaras dengan undang-undang larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, apa yang saya faham jelas menyatakan walaupun dipecat oleh partinya atau parti dibubar, keahlian sebagai wakil rakyat tidak gugur,” kata Datuk Shamsuddin Nawawi.
Terdahulu, Pengerusi BN, Zahid Hamidi, hari ini (21 November 2022), berkata mana-mana MP BN yang menandatangani sebarang dokumen, terutama surat akuan bersumpah (SD), untuk menamakan sesiapa saja sebagai Perdana Menteri adalah tidak sah dan tindakan itu melanggar perlembagaan parti.
Shamsuddin memberi contoh tindakan MP Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan tidak akan menyokong kerjasama antara UMNO dan PH, termasuk DAP.
“Pada saya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menyatakan dia akan menyokong apa yang disarankan parti dan sanggup dipecat.
“Jadi, dia tahu walaupun dipecat kelak, keahliannya sebagai calon menang kerusi Parlimen tidak gugur,” katanya menurut BH.
Menurutnya situasi yang berlaku ketika ini untuk memilih Perdana Menteri yang mana jika seseorang itu yakin Perdana Menteri berkenaan boleh menyebabkan kerajaan stabil, SD akan dibuat.
“Namun, saya tidak fikir tindakan membuat SD itu dikatakan bertentangan dengan parti, sebab ia bukan masalah sebagai ahli parti, itu hak dia sebagai ahli Parlimen yang ada bidang kuasa berasingan, sebagai ahli parti pula ada disiplin berasingan,” katanya.
Shamsuddin berkata, sekiranya parti terlalu ‘rigid’ berkaitan perlu mengikut arahan parti, perkara berkait pelantikan Perdana Menteri tidak akan selesai.
“Paling penting sekarang ialah negara perlu ada Perdana Menteri supaya Bajet 2023 dapat dibentang dan dilulus semula untuk membolehkan ekonomi negara berjalan dengan baik.
“Jika kemelut pelantikan Perdana Menteri berterusan, rakyat juga akan marah kerana tanggungjawab mereka mengundi pemimpin yang dikehendaki sudah dilunaskan,” katanya.
