Ideologi Berbeza: Penganalisis Ramal Kerajaan PH-BN Bakal Bercakaran

Ideologi Berbeza: Penganalisis Ramal Kerajaan PH-BN Bakal Bercakaran

Beberapa penganalisis politik antarabangsa tidak pasti berapa lama kerajaan gabungan PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertahan, kerana parti yang menganggotainya mempunyai pelbagai ideologi.

Malah ada yang meragui kerajaan baharu ini dapat bertahan sehingga habis penggal Parlimen ke-15, apa lagi menjelang pemilihan UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Disember depan.

Ini kerana jawatan Perdana Menteri (PM) disandang Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sekarang ini bergantung kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk rekod, BN dianggotai oleh UMNO, MCA, MIC dan PBRS, manakala PH dianggotai DAP, PKR, AMANAH dan UPKO.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata adalah terlalu awal untuk meramalkan prestasi kerajaan Anwar, sambil menyatakan gabungan beraneka ragam parti bermakna kepentingan yang bercanggah tidak dapat dielakkan.

“Saya benar-benar tidak tahu berapa lama kerajaan ini boleh bertahan kerana kerajaan perpaduan seperti gabungan besar akan merangkumi parti-parti politik pelbagai ideologi.

“Jika (melihat) dua atau empat tahun kebelakangan ini telah memberi petunjuk bahawa mereka mungkin akan merancang menentang sesama sendiri,” kata Oh.

Beliau menambah bahawa langkah pertama bagi kerajaan baharu adalah untuk mempercepatkan kelulusan Bajet 2023, memandangkan Parlimen dibubarkan sebelum bajet dibentangkan oleh BN diluluskan.

Mengulas sentimen Oh, penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata bahawa kestabilan kerajaan baharu dan jawatan PM dipegang Anwar akan kekal diragui sekurang-kurangnya sehingga pemilihan UMNO, yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember 2022.

Memetik laporan MalayMail, Oh berkata jawatan PM disandang Anwar bergantung kepada Zahid, yang menghadapi tekanan hebat daripada beberapa pemimpin parti supaya berundur berikutan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum Anwar mengangkat sumpah, 10 Ahli Parlimen BN telah berikrar taat setia kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan calon PM daripada Perikatan Nasional, gabungan kedua terbesar menang PRU-15 selepas PH.

BN menerusi Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengadakan PRU-15 lebih awal, hanya memperoleh 30 kerusi.

Bagaimanapun, nampaknya Zahid berhasrat untuk kekal sebagai Presiden UMNO, walaupun ada desakan supaya beliau meletakkan jawatan, kerana beliau mendakwa kononnya masih mengekalkan sokongan akar umbi yang kuat.

Anwar juga dijangka menghadapi tugas sukar untuk memperuntukkan kerusi Jemaah Menteri kepada parti gabungan yang menyokongnya yang mempunyai pelbagai ideologi.

Dengan Anwar gagal membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki 112 sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan, beliau terpaksa meminta bantuan daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) – dua gabungan yang bersaing dengan masing-masing memiliki ideologi politik dan manifesto berbeza.

Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri boleh diuji apabila beliau sendiri mencadangkan supaya satu usul percaya terhadapnya dibuat di Dewan Rakyat, selain bajet mini yang akan dibentangkan.

Anwar perlu meletak jawatan sekiranya beliau gagal memperoleh sokongan 112 Ahli Parlimen bagi salah satu daripada dua isu di atas.

Politik