Apabila Presiden saya bercerita tentang masa yang dicederakan, seluruh peminat Piala Dunia macam tesentak dari mimpi.
Mesej yang jelas ialah keadilan mesti ditegakkan.
Dan motif tulisan ini juga ingin memperingatkan dan menyokong pandangan ikhlas Presiden saya bahawa sesiapa pun jangan bersifat khianat terutama dalam satu permainan besar; permainan yang menentukan jatuh bangun, hidup dan mati sesuatu bangsa, agama dan negara.
Jika sebuah negara kecil berhak menang, maka berilah haknya.
Costa Rica tidaklah sekuat mana berbanding dengan German.
Tetapi jika Costa Rica telah mendahului 1-0 sehingga minit ke-93 dalam masa tambahan sedangkan perlawanan berjalan agak lancar, maka mengapa pengadil masih tidak mahu meniupkan wisel sehingga akhirnya German dapat pula menjaringkan 2 gol.
Lantas wisel pun ditiup pada minit ke-100.
Apakah peminat bola di seluruh dunia begitu bodoh sehingga tidak melihat karenah buruk pengadil FIFA?
Dipetik kata Presiden saya, “Bagaimana pula kalau pengadil menambah masa bukan kerana faktor kecederaan atau seri tiada keputusan?
Padahal keputusannya sudah ada kemenangan pada satu pihak, ada mata dan golnya, tiba-tiba pengadilnya menambah masa juga untuk memberikan peluang kepada yang nyata sudah kalah supaya mereka dapat meraih kemenangan juga dengan apa cara sekalipun, yakni masanya dicederakan oleh si pengadil.
Apakah yang diperkatakan oleh penonton yang menyaksikan secara langsung atau tayangan daripada jauh?
Sengaja mencederakan masa kerana ada sesuatu helah dan tujuan adalah suatu ketidakadilan yang amat keji.
Beliau memperingatkan balasan siksa neraka kepada sesiapa sahaja yang melakukan ketidakadilan atau cenderung kepada kezaliman.
Al-quran dan hadis Nabi S.A.W. dinukilkan sebagai sandaran dan peringatan.
Kalau zalim kepada seorang peminat bolasepak pun sudah berdosa, apalagi berjuta-juta peminat sebuah negara terkesan kerana ketidakadilannya?
Pengadil adalah tonggak dan harapan bagi semua peminat Piala Dunia.
Pengadil yang gagal menjalankan fungsinya, akan menyebabkan rasa tidak puas hati penonton.
Daripada perasaan itulah dunia terdedah kepada hilang rasa hormat, perbalahan, kebencian dan huru-hara.
Kita tidak mahu suatu hari nanti institusi kepengadilan akan tumbang sama ada melalui doa peminat-peminat yang dizalimi atau balasan Tuhan yang selalu memerhatikan.
Manusia dan teknologi semakin canggih.
VAR sudah digunakan.
Apakah suatu hari nanti robot yang lebih intelek akan melenyapkan pengadilan yang sumbang?
Harap kecil dan besar boleh faham.
Apapun warna jersey yang kalian pakai, hijau, biru, merah atau kuning, berlaku adillah selagi kuasa di tangan.
Sama ada kalian di gobok buruk di pinggir desa, berlaku adillah kepada ayam dan kucing yang dipelihara.
Atau kalian terkepung di dalam pagar istana, keluarlah dan lihatlah rakyat marhaen yang selama ini menjunjung kalian.
Kalau hari ini kalian tersilap, masa masih ada untuk diperbetulkan segala kesilapan.
Salam Muhammad