Tangguh Umum Kabinet, Warganet Sindir Anwar ‘Kahwin Besar Banyak Cabarannya’

Tangguh Umum Kabinet, Warganet Sindir Anwar ‘Kahwin Besar Banyak Cabarannya’

Susulan tiada lagi pengumuman pembentukan Kabinet dibawah kerajaan baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga sekarang, pengguna media sosial memberi sindiran sinis dalam ruangan komen berhubung laporan berita penangguhan tersebut.

Utusan Malaysia dan Sinar Harian mengeluarkan laporan berita berhubung kemungkinan Perdana Menteri tidak akan mengumumkan barisan menterinya pada minggu ini selepas timbul spekulasi anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Sinar Harian menerbitkan laporan artikel bertajuk “Pembentukan kabinet tidak berlaku dalam masa terdekat”, sementara Utusan pula laporannya bertajuk “Pengumuman Kabinet tangguh” hari ini.

Di ruang komen, pengguna Facebook Rozairi Yahya berkata, “Doa yang baik-baik je gaiss.. tak baik meruntuhkan masjid. Kawen ramai memang besar cabarannya”, ia sebagai sindiran terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Faisal Hamdi pula berkata, “Tengah berebut kerusi kabinet ke tu?”.

Beratus komen dihantar pengguna media sosial di ruang komen dalam laporan berita Sinar Harian dan Utusan Malaysia yang dikongsi di platform Facebook dengan majoriti menyindir serta mengkritik kerajaan campuran yang dibentuk antara PH dengan BN tersebut.

Terdahulu, akhbar The Straits Times berpengkalan di Singapura mendedahkan Anwar Ibrahim terpaksa menangguhkan pengumuman senarai menteri dalam pentadbirannya selepas terdapat pertikaian isu melibatkan lantikan Zahid yang memeningkan kepalanya.

Malah, laporan itu juga berkata setakat ini tiada majlis angkat sumpah barisan menteri kerajaan PH-BN dijadualkan berlangsung pada minggu ini dan mungkin diadakan pada minggu depan.

Anwar juga dilaporkan masih belum menyerahkan senarai penuh barisan Kabinetnya kepada Yang di-Pertuan Agong, kata The Straits Times lagi yang memetik sumber dalaman parti itu.

Setiausaha akhbar Anwar dalam laporan sama juga dipetik memberitahu bosnya hanya dijadualkan berada di pejabatnya sepanjang Khamis, tanpa maklumat tersedia mengenai pengumuman Kabinet.

“Keadaan sekarang tidak berubah kerana begitu banyak kumpulan yang berbeza melobi,” kata seorang pegawai PKR dalam laporan itu.

Isu Semasa