Politik Dan Kuasa

Politik Dan Kuasa

Rasanya ramai orang sudah menjangkakan nama-nama politikus yang akan menjadi menteri apabila melihatkan kedudukan “kerajaan perpaduan” Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Cuma ada beberapa nama yang tidak disangka akan dimasukkan juga ke dalam kabinet meskipun nama-nama tersebut terang-terangan ditolak oleh ramai orang; dan ada juga nama-nama yang diharapkan untuk berada dalam senarai kabinet tetapi tidak disebut.

Inilah realitinya politik dan kekuasaan.

Ianya berlapis-lapis dan perlu dicerap mendalam agar kita menjadi rakyat yang bijaksana membaca situasi.

Lapisan kekuasan pertama yang kelihatan jelas adalah posisi para politikus untuk menjaga darjat, maruah, pengiktirafan, dan keselamatan diri serta para hartawan mereka.

Tetapi pada lapisan kekuasaan lain, bacaan politik yang kita tidak boleh abaikan adalah bagaimana percaturan para politikus yang diletakkan di institusi-institusi untuk menggerakkan kuasa idealisme mereka.

Kabinet kerajaan itu bukan sekadar sebuah instrumen pentadbiran negara, bahkan mereka itu sendiri adalah sebuah kekuasaan ideologi yang wajar kita perhatikan secara kritis supaya kita tidak menjadi rakyat yang dipengaruhi fikiran supaya menjadi lembu yang dicucuk hidung.

Kalau tidak, sia-sia sahaja idea reformasi & pencerahan yang dilaungkan berdekad-dekad kalau pada akhirnya hanya sekadar mengulang ideologi kekuasaan rejim lama yang telah ditumbangkan pada PRU-14.

Ini kitarannya yang akan terus berulang-ulang.

Dari Animal Farm (George Orwell) sampai ke Shit (Shahnon Ahmad) bahkan hingga ke Koro (Faisal Tehrani), inilah realiti kekuasaan politikus yang kita akan hadapi.

Sebelum PRU, saya membaca kumpulan cerpen Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya karya Yahaya Ismail.

Cerpen Maharaja Beruk ditulis sebagai sindiran kepada krisis UMNO pada tahun 1987 (yang sampai membawa kepada pembubaran UMNO pada tahun 1988).

Kumpulan cerpen itu menghidangkan cerita-cerita politik kaum beruk, yang dikepalai oleh Maharaja Beruk dan orang kanannya, Beruk Mat Yeh yang menggunakan segala makar dan pengaruh bagi mengekalkan kedudukannya.

Beruk Mat Yeh dikritik rakyat kerana mula berubah rupa setelah menjadi orang kanan Maharaja Beruk sedangkan dahulunya dia adalah pejuang rakyat.

Saya rasakan buku itu bahkan lebih menikam dan tajam berbanding novel Shit itu sendiri.

Itulah ceritanya politikus pun.

Semenjak PRU tempoh hari, saya dan rakan-rakan sentiasa berbahas tentang politik, di mana selalu wujud pertembungan di antara politik moralis vs politik strategis.

Strategis akan sentiasa mempertahankan hal-hal pragmatis kerana menurutnya, apa yang penting adalah kestabilan kerajaan lantas hal-hal prinsipal wajar ditangguhkan demi maslahat terbesar.

Jadi, kata mereka, perlu ada “budak nakal” dalam kerajaan untuk mengawal “budak-budak nakal lain” di luar sana.

Politik moralis menurut mereka hanyalah sekadar idealis di atas kertas, tetapi tidak berpijak pada realiti.

Saya akui saja.

Tetapi, sampai bila politik kita harus terus realis begitu?

Sejak bila jalan untuk politik itu hanyalah semata-mata pada jalan realisme tanpa ada pilihan lain yang boleh diambil?

Dan, mestinya kenapa kita yang sedar dan faham bahawa kekotoran dalam politik itu harus terus dibiarkan kotor tanpa kita memikirkan bagaimana untuk menawarkan wacana alternatif yang lebih baik untuk membaiki wacana politik masa hadapan?

Saya ingin perturunkan status yang saya kongsikan di Instagram sebelum ini:

Hobbes, Machiavelli, Morgenthau, dll akan sentiasa dilihat benar dalam analisis politik disebabkan sifat sistem dunia dicorakkan oleh fenomenologi perang.

Orang sentiasa rasa politik & negara adalah satu peperangan, maka perlukan strategi licik untuk menang meraih kekuasaan.

Pemikiran realis sebegini berbahaya dan terus memerangkap fikiran orang bahawa, “Politik memang lumrahnya begitu”.

Tidak ada usaha untuk membawa wacana alternatif kerana masing-masing seronok untuk menjadi orang yang “paling tepat” menganalisis politik dan “lebih faham” strategi.

Analisis akademik telah menjadi dogma kepada ilmuwan yang sekadar ingin membuktikan ketepatan fakta dan ramalan, sehingga menenggelamkan sifat sebenar seorang ahli ilmu – seperti kata Syed Hussein Alatas – untuk memahami dan menawarkan penyelesaian kepada masalah masyarakat.

Apakah sifat politik licik tidak dianggap sebagai masalah masyarakat yang perlu diselesaikan dan diterima seadanya atas landasan realisme?

Maka, perlu kepada – selain datangkan wacana alternatif humanis – penilaian semula ontologi sejarah supaya psikologi & pengalaman dunia dapat difahami bagi menawarkan ruang untuk betulkan semula kesilapan idea pemikir Pencerahan Eropah yang tersebar melalui kolonialisme lantas menjadikan masyarakatnya terbelenggu dalam minda tertawan.

Jadi, ya, kenapa kita harus membiarkan politik realisme itu harus terus-menerus berlaku?

Kita boleh fahamlah kalau pemain politik itu tidak akan mahu mengubah sifat politik yang sebegini sebab dalam fikiran mereka hanyalah tentang kekuasaan.

Tapi kita sebagai masyarakat berkesedaran, tidakkah mahu menjadi agen yang mengubah keadaan sebegini?

Atau kita – terutamanya ahli akademik – lebih seronok menjadi strategis yang “bijak” membuat ramalan politik (lalu berbangga-bangga apabila ramalan itu tepat) berbanding menjadi intelektual yang menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk membina masyarakat masa hadapan yang lebih baik?

Walau apapun, dengan pengumuman kabinet baru pasca PRU-15 ini, tugas sebenar kita sebenarnya sedang bermula:

Mempertanggungjawabkan setiap politikus untuk idea & manifesto yang mereka laung-laungkan selama ini.

Ahmad Muziru Idham

Kolumnis