Nakba: Memperingati Hari Dirampasnya Palestin Dari Warganya Dengan Penuh Kejam Dan Zalim

Nakba: Memperingati Hari Dirampasnya Palestin Dari Warganya Dengan Penuh Kejam Dan Zalim

15 Mei 2022 yang lalu, telah masuk 74 tahun peristiwa Nakba telah berlalu.

Hari Nakbah bukan sahaja diingati sebagai peristiwa hitam buat rakyat Palestin tetapi juga buat umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kasih dan sayang terhadap saudaranya yang dirompak tanah air mereka malah hingga ke hari ini hanya tinggal beberapa kerat lagi bumi Palestin sebelum terhapus Palestin dari muka bumi ini.

Lebih 750,000 warga Palestin dihalau keluar dari tanah air mereka, dianggarkan lebih daripada 15,000 warga Palestin telah dibunuh oleh tentera regim zionis Israel, menyerang bandar-bandar utama di Palestin dan memusnahkan lebih kurang 530 perkampungan Palestin serta melakukan puluhan pembunuhan beramai-ramai yang boleh dinisbahkan sebagai pembersihan etnik.

Ketika ini di Netflix sedang ditayangkan sebuah filem yang berjudul “Farha“, sebuah filem berdasarkan kisah benar tentang seorang anak gadis remaja berumur 14 tahun bernama Farha yang hidup ketika berlakunya peristiwa Nakba pada tahun 1948 di Palestin dimana beliau menyaksikan pembunuhan dan kekejaman termasuk pembunuhan ahli keluarganya berserta seorang bayi ketika tentera zionis menyerbu perkampungannya pada ketika itu.

Ia sebuah filem arahan karyawan filem dari Jordan berketurunan Palestin Darin Sallam dan diterbitkan oleh Deema Azar dan Ayah Jardaneh dari syarikat produksi perfileman Telebox dari Jordan.

Filem tersebut telah memenangi pelbagai anugerah antaranya anugerah Best Youth Film di 15th Asia Pasific Screen Awards di Australia, Pengarah dan Aktres terbaik di Aswan International Film Festival 2022 dan telah menyertai lebih daripada 40 festival filem serta mendapat pujian ramai.

Filem ini mendapat kritikan dan kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin regim zionis Israel dan mereka menggangap ia satu penipuan, fitnah dan naratif yang berniat jahat terhadap regim zionis Israel serta mengecam Netflix kerana menayangkan filem tersebut kepada umum.

Pada saya ia adalah satu filem yang amat baik untuk ditonton dengan sekurang-kurangnya mengingatkan dan mengimbau kembali kepada kita kekejaman, kezaliman dan sikap tidak berperikemanusiaan zionis Israel terhadap Palestin dan warganya ketika dirampas bumi Palestin pada masa berlakunya peristiwa Nakba.

Teruskan memberikan sokongan kepada Palestin dan warganya dan insya Allah saya percaya satu hari nanti Palestin akan merdeka dan bebas dari cengkaman regim zionis Israel.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk

Dunia Islam