Kemenangan besar PN di Padang Serai membangkitkan kebimbangan pada PH Pulau Pinang – yang terletak bersebelahan – terhadap “gelombang hijau” yang tidak menunjukkan petanda akan mereda.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meramalkan PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, berdasarkan trend yang dilihat dalam PRU15.
Walaupun ia tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, Chow dilaporkan berkata pengaruh gabungan itu di negeri itu tidak akan menjadi sekuat dulu.
Pada PRU15, PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.
Di Pulau Pinang, dua kubu kuat BN, iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor, juga dirampas gabungan itu.
Namun kekalahan paling mengejutkan adalah di Permatang Pauh, apabila Nurul Izzah Anwar tewas di tangan calon PN Fawwaz Md Jan.
Kerusi itu dipegang keluarga Anwar sejak 1982.
Tiga kerusi ini adalah kerusi separa bandar dengan orang Melayu merangkumi 70 peratus pengundinya.
Jika trend semasa beterusan, tidak mustahil PN akan menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu dalam PRN akan datang.
Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat September lalu menunjukkan 26 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang adalah kerusi campuran di mana Melayu bukan majoriti pengundi, manakala 14 kerusi lagi memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Melayu.
Daripada 14 DUN tersebut, 11 terletak di Seberang Perai.