Antara naratif yang sangat berkesan dalam mewujudkan permusuhan antara UMNO dan Perikatan Nasional adalah Bersatu ditubuhkan untuk membunuh UMNO.
Dengan itu, mengadakan kerjasama dengan Bersatu adalah seperti membunuh diri kerana UMNO dan Bersatu berebut kerusi yang sama.
Ini adalah hujahan mereka yang mahu mengekalkan kuasa dan kedudukan dalam parti dan mahu menjadi calon pilihan raya, bukannya menjayakan matlamat perjuangan parti.
Sebenarnya, bukan Bersatu sahaja ditubuhkan untuk mengalahkan Umno.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga ditubuhkan untuk mengalahkan UMNO.
Apakah PAS bertanding di kawasan bukan UMNO? Tidak!
Namun apabila pemimpin UMNO terdesak mahu memulihkan imej mereka, maka PAS dijadikan kawan.
PKR juga ditubuhkan untuk menjatuhkan UMNO.
PKR juga bertanding di kerusi-kerusi Melayu UMNO.
Mengapa kini mereka sanggup bekerjasama dengan PKR?
Sebab PKR sanggup menerima pemimpin UMNO yang ditolak rakyat.
UMNO juga kini bekerjasama dengan DAP musuh perjuangan UMNO selama sejak kelahirannya.
Bukan saya kata, ini adalah kata-kata pemimpin UMNO, dulu dan kini.
DAP juga menyokong semua parti-parti Melayu yang menentang UMNO.
Apabila mereka menjadi kerajaan pada 2018, pemimpin UMNO kini juga yang mendakwa mereka merosakkan kepentingan masyarakat Melayu dan Islam.
Peguam Negara yang mendakwa para pemimpin UMNO juga adalah suku-sakat DAP.
Dengan kata lain, DAP juga mahu membunuh UMNO.
Namun kali ini UMNO memilih untuk bekerjasama dengan mereka kerana kompromi jawatan untuk pemimpin UMNO.
Sebenarnya yang membunuh UMNO adalah pemimpin UMNO yang enggan berundur apabila sudah tidak diterima rakyat.
Dengan kekuatan jentera dan keahlian, serta jumlah pemimpin yang berkaliber, UMNO tidak mungkin boleh dibunuh oleh Bersatu, parti kecil tanpa ramai bakat kepimpinan dan jumlah ahli yang sedikit.
Namun UMNO memilih mempertahankan pemimpinnya yang ditolak oleh rakyat.
UMNO merasakan orang Melayu akan terus mengundi mereka kerana mereka sahaja satu-satunya harapan orang Melayu dan Islam.
Mereka tidak sedar bahawa orang Melayu telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti yang terpalit banyak isu rasuah.
Kepercayaan orang Melayu kian luntur apabila sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Melayu dan Islam, kemudiannya berusaha bersungguh-sungguh mahu menggagalkan kerajaan yang dibina bersama parti Melayu dan bumiputera lain.
Orang Melayu tidak lagi bodoh.
Mereka melihat betapa rakusnya sesetengah pemimpin UMNO mahukan kuasa mutlak sehinggakan menjadi Perdana Menteri dan menguasai banyak kementerian penting belum cukup.
Orang Melayu melihat kerakusan pemimpin UMNO tertentu sepanjang tiga tahun lalu.
Parti telah kalah dalam PRU14, namun apabila diberi peluang membentuk semula sebuah kerajaan Melayu, mereka mahu mendominasi segala-galanya.
Apabila ditawarkan Muafakat Nasional tiga parti Melayu, UMNO juga menolaknya atas alasan Bersatu akan mengambil sesetengah kawasan mereka.
Orang Melayu melihat walaupun ditawarkan menjadi abang besar dengan kerusi yang lebih banyak, UMNO mahu menjadi bapa besar.
Akhirnya orang Melayu menghukum UMNO.
Ramai yang berkaliber dan tidak bersalah turut terpalit beban kepimpinan pusat dan kalah dalam PRU15.
Ahli UMNO yang berfikiran matang dan terbuka perlu membuat perubahan jika mahu parti ini terus kekal relevan.
Yang melemahkan UMNO bukan Bersatu, bukan PAS, bukan PKR mahu pun DAP.
Yang melemahkan UMNO adalah kepimpinan UMNO sendiri yang menggadaikan parti kerana mahu mempertahankan kedudukan mererka.
Semua mereka akan sentiasa meminta ahli dan pemimpin bawahan berkorban untuk parti.
Malangnya mereka pula menunggang parti.
Ahli UMNO perlu ingat orang Melayu telah berubah.
Berubahlah jika tidak mahu rebah.
Ab Jalil Backer
