Speaker Dewan Rakyat akan menentukan sama ada kerusi Parlimen di Sabah kosong atau tidak hanya selepas menerima notis mengenai tindakan empat ahli Parlimen (MP) Bersatu dari Sabah keluar parti.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata menurut Perlembagaan Persekutuan adalah menjadi tugas Speaker untuk menentukan kekosongan selepas diberikan notis.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada empat MP Bersatu di Sabah perlu mengosongkan kerusi mereka setelah mereka mengumumkan keluar daripada parti itu.
Keempat-empat mereka ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Jonathan Yasin (Ranau); dan Matbali Musah (Sipitang).
“Saya tidak boleh prasangka (prejudge) perkara itu,” katanya menurut BH.
Sabtu lalu, pemimpin Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Mengikut undang-undang anti-lompat parti yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, MP akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.
Pengecualian untuk MP yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.
Mengikut prosedur, MP akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata undang-undang antilompat parti akan dirujuk terhadap empat MP Bersatu yang membuat keputusan keluar parti mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS pada PRU-15, ia akan ditentu berdasarkan undang-undang antilompat parti bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
