Walaupun empat Ahli Parlimen (MP) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa sudah keluar dari parti Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, namun tiada bukti hitam putih untuk menyokong hujah tersebut setakat ini.
Jika benar empat MP GRS tersebut sudah meletak jawatan, sudah pasti sebelum PRU-15 lagi mereka mengadakan sidang media mengumumkan tindakan keluar Bersatu tetapi sehingga hari ini tiada bukti yang terang untuk menyokong dakwaan kononnya mereka keluar parti sebelum Oktober lalu.
Malah, semasa sidang media baru-baru ini sahaja bekas Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan tindakan keluar parti tersebut dan tindakan itu secara tidak langsung mengesahkan empat MP tersebut pada awalnya masih ahli parti yang sah.
Nampaknya, peguam dan pengamal undang-undang yang dibayar sedang memberi hujah perundangan kononnya empat MP itu sudah keluar Bersatu walhal realitinya tidak ada satu bukti jelas yang dikemukakan mereka untuk menyokong hujah tersebut, jika ada Hajiji atau empat MP tersebut boleh kemukakan kepada umum berhubung surat yang mengesahkan mereka sudah keluar parti sebelum PRU-15 lalu.
Namun, semasa sidang media baru-baru ini yang diumumkan Hajiji dan bersama pengikutnya adalah mereka baharu sahaja keluar Bersatu.
Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang bertanding atas tiket GRS ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Untuk rekod, GRS hanya sebuah gabungan parti politik yang tidak mempunyai keahlian dan semua empat MP yang bertanding pada PRU-15 adalah ahli parti Bersatu.
Walaupun empat MP tersebut bertanding atas tiket GRS sekalipun, perlu difahami bahawa mereka adalah ahli Bersatu dan bukan ahli GRS, disinilah Hajiji tidak memahami peruntukan undang-undang baharu larangan lompat parti tersebut.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata undang-undang antilompat parti akan dirujuk terhadap empat MP Bersatu yang membuat keputusan keluar parti mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
