Pencapaian PERIKATAN NASIONAL yang didominasi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam PRU ke-15 baru-baru ini diperakui semua kawan serta lawan dan tidak dapat dipandang remeh oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Perdana Menteri ke-10 yang hanya dapat dibentuk setelah terpaksa bersekongkol dengan musuh yang dimaki hamunnya sebelum ini.
Kemenangan 73 kerusi Parlimen, PAS 43 dan BERSATU 30 di kawasan Bumiputera dan Melayu Islam (Beluran dan Saratok diwakili Bumiputera bukan-Islam) sesungguhnya menarik perhatian ramai dengan para penganalisa menggelarnya ‘The Green Wave‘ atau ‘Gelombang Hijau’.
Dan kemudian keputusan Pilihan Raya Parlimen Padang Serai di Kedah (menambahkan kerusi ke 74), memuktamadkan bahawa gelombang ini bukan bikin-bikinan atau ‘artificial‘ tetapi ia satu trend dan malah mampu meledak dan melonjak lebih besar lagi, mencerminkan selera politik masyarakat majoriti dalam negara.
Berilah apa alasan sekalipun, hakikatnya Parlimen Padang Serai adalah kerusi tradisional PKR sejak 2008.
Sepatutnya apabila calon Barisan Nasional tarik diri, kombinasi jentera Pakatan Harapan dan BN boleh membawa kemenangan besar, ini ditambah pula dengan pembentukkan Kerajaan Perdana Menteri ke-10, Padang Serai sepatutnya menjadi medan rakyat mengesahkan kerajaan baru, malangnya tidak.
PN menang besar di Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi.
Pada PRU lalu mendiang M. Karupaiya menang untuk PKR dengan majoriti 8,813 undi, kali ini calon PN dari BERSATU menang dengan majoriti luar biasa.
Ini bermakna PN Kedah yang didominasi PAS menang keseluruhan di 14 dari 15 kerusi Parlimen.
BN tiada satu pun kerusi Parlimen di Kedah buat pertama kali (sebagaimana tiada di Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka).
Sepatutnya setelah selesai PRU Parlimen ke-15, dan dengan pembentukan Kerajaan Perdana Menteri ke-10 di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat kembali memberi sokongan dan dukungan kepada parti kerajaan sebagai tanda keyakinan mereka, tetapi ini tidak berlaku di Padang Serai.
Rakyat tetap menolak PH dan BN walaupun mereka kini bersekongkol, Gelombang Hijau tetap menjulang tinggi melanda segenap ceruk di Padang Serai diketuai asakkan sokongan anak-anak muda.
Berdasarkan keputusan Padang Serai ini ternyata rakyat khasnya para pengundi Melayu Islam, yang lebih 56 peratus menyokong PN, tidak selesa malah kecewa melihat PH bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan.
Bagi mereka kerjasama ini seakan mengkhianati apa yang dijanji dan diperjuangkan oleh kedua-dua PH dan BN yang sebelum ini melancarkan perang besar-besaran sesama sendiri sepanjang kempen PRU ke-15.
PH mendesak rakyat agar menolak ‘kluster mahkamah’, pemimpin korap dan pincang semuanya ditujukan pada pimpinan BN dan Umno.
Malah PKR melalui penyanyi rap dan komposer Altimet mempopularkan kembali lagu Allahyarham P.Ramlee, ‘Siapa sokong penyamun’ yang sakan dinyanyikan oleh Anwar sepanjang tempoh kempen untuk mengaibkan BN dan pimpinannya.
BN pula kuat menyerang PH khasnya DAP yang dituduh mengancam nasib dan masa depan umat Melayu Islam.
Tiba-tiba apabila perlu membentuk kerajaan segala maki hamun dan sumpah seranah antara sesama sendiri boleh dalam sekelip mata dilupakan.
Si penyamun dan si ekstremis tiba-tiba menjadi kawan dan dijulang.
Politik matlamat menghalalkan cara ini mungkin langkah terdesak kerana masing-masing laparkan kuasa dan tidak sanggup lagi memanaskan kerusi pembangkang setelah menunggu sekian lama, ada pula yang tidak sanggup meringkuk di penjara.
Oleh itu padam sahaja rekod yang lepas dan tekan butang ‘reset‘ semua kembali menjadi putih-bersih bagai bayi baru lahir.
Langkah ini mungkin boleh dihalalkan oleh mereka yang terdesak itu, tetapi rakyat tidak melihat sebegitu.
Bagi rakyat tindakan ‘u-turn’ itu sesuatu yang serius.
Bertindak sedemikian bagi rakyat dilihat sebagai satu pengkhianatan, ianya pembohongan yang mungkin dipandang mudah oleh pimpinan politik yang selama ini mereka percayai.
Rakyat merasakan mereka seakan menjadi buah catur yang dipermainkan sesuka hati oleh pimpinan yang mengutamakan agenda peribadi.
Kerana itu Padang Serai menjadi kemuncak kemarahan rakyat dan penolakan terhadap Kerajaan Perdana Menteri ke-10.
Soalnya adakah ‘Gelombang Hijau’ ini akan terus bertenaga sehingga sampai ke Pilihan Raya Umum ke-15 bagi baki enam negeri-negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan atau akan beransur merosot selepas ini?
Kerajaan PH-BN Perdana Menteri ke-10 ini sudah pasti akan berusaha mematahkan gelombang ini kerana mereka tidak akan mampu berhadapan dengan penolakan besar-besaran rakyat khasnya para pengundi Melayu Islam yang merupakan blok terbesar dalam Pilihan Raya itu nanti yang dijangka sebelum pertengahan 2023.
Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar, keputusan Padang Serai membuktikan yang sokongan pengundi Melayu terhadap PN berterusan (walau selepas Kerajaan Persekutuan terbentuk) dan ia kini mencapai tahap luar biasa yang ternyata gagal dibendung PH (mahupun BN).
Manakala penganalisa politik dari UTM Dr Mazlan Ali berkata PH kini ketandusan isu, kerana segala serangan terhadap golongan kleptokrat dan penyamun sudah tidak lagi boleh dipakai kerana BN kini bersama mereka dalam kerajaan.
Lantaran itu kedua-dua mereka menjangka yang fenomena ‘Gelombang Hijau’ ini akan menjadi ancaman dalam Pilihan Raya enam negeri nanti.
Kelantan, Terengganu dan Kedah dijangka terus ‘hijau’ manakala Kerajaan Negeri PH di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam keadaan bahaya.
Trend penolakan ini dijangka berterusan apabila rakyat mula menilai prestasi Kerajaan Perdana Menteri ke-10.
Mampukah mereka membela nasib dan kebajikan rakyat sebagaimana didakwa semasa berkempen dahulu atau ia sekadar retorik kosong sama sebagaimana kerajaan 22 bulan PH dahulu.
Dengan gabungan PH dan BN yang bagaikan balam dan ketitir itu, masing-masing mendukung matlamat dan perjuangan yang berbeza, laluan sukar pasti menanti mereka.
Apa pun bagi PN dukungan kuat pengundi Melayu Islam khasnya di kalangan anak-anak muda hendaklah ditatang dan dipelihara baik-baik.
Kerajaan Negeri-negeri PN mesti membuktikan kemampuan masing-masing mencerminkan kematangan, kebijaksanaan dan keupayaan politik umat Melayu yang tidak pernah lekang dari ajaran dan panduan agama.
Ahli-ahli Parlimen PN hendaklah berperanan sebagai pembangkang yang rasional dan konstruktif.
Jangan jadikan Dewan sebagai gelanggang maki hamun sebagaimana kumpulan lain.
Rakyat telah beri kepercayaan mereka pada kita, kini tugas kita untuk buktikan yang pilihan mereka itu tepat.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR