Banjir dah nampak macam sudah mahu pulih, moga keadaan baik ini, berterusan.
Lepas ni akan masuklah segelintir geng yang datangnya geleng-geleng kepala, sambil mulut dimuncungkan bunyi berdecap-decap macam cicak, kerana melihat kesan banjir.
Geng ni akan datang bawa bantuan, alhamdulillah.
Tapi masuk bukan melalui orang atau kumpulan berautoriti di kawasan berkenaan.
Dalam kepala dia, authorized person ni, tak boleh pakai, mungkin akan seleweng duit derma dia.
Maka dia akan mula membahagi-bahagikan sumbangan tanpa mengetahui keadaan sebenar.
Akan ada pertindihan sumbangan.
Mereka tak peduli, sebab mereka tak buat koordinasipun sesama mereka apatah lagi dengan pihak berkuasa setempat.
Selepas tu ada seorang dua yang cerita kepada mereka selama ini bantuan tidak sampai.
Padahal dengan harapan akan dapat lebih
Apalagi, mereka segera berswafoto dan akan mengambil setiap patah perkataan yang mereka dapat daripada orang yang tidak mereka kenali itu dan mencanangkan dalam media sosial bagi mengegerkan kisah bahawa orang yang diberi amanah itu sangat jahat dan belot.
Lebih sedap cerita itu sekiranya datang dari negeri Kelantan dan Terengganu.
Dan akhirnya, rupa-rupanya cerita itu diceritakan oleh seorang yang kurang waras di kawasan itu yang hanya mahukan wang bantuan.
Mereka percaya kepada si kurang siuman itu dan memberikan wang kerana kasihan, atau mungkin juga supaya lebih banyak cerita.
Begitulah, mereka datang dengan harapan yang tinggi dan sumbangan yang banyak yang mereka megahkan, akhirnya tewas dengan salah satu cara pahala sedekah mereka jatuhkan dan dihanyutkan oleh banjir, ke laut dosa.
Datang bawa duit, bawa harapan, pulang membawa dosa.
Jadi, janganlah tuan-tuan datang ke tempat terjejas dengan niat begini.
Lebih elok bertanya atau dipandu oleh orang yang tahu berkenaan kawasan itu supaya bantuan anda tersasar.
Dan tutuplah mulut anda jika melihat kelemahan yang mungkin anda tidak tahu asasnya.
Pernahkah anda lihat beberapa NGO yang melonggokkan makanan mereka kepada gelandangan di bulan Ramadan yang akhirnya bertimbun, kerana terlebih bagi.
Jadi basi dan dibuang akhirnya.
Itu belum diceritakan yang mereka berebut sasaran dan kawasan.
Seperti gengster pula layaknya.
Mereka tidak bekerja bersama, masing-masing merasakan NGO mereka lebih baik, yang lain tidak.
Cerita apa yang berlaku di Manik Urai, sudah puas kita hadam.
Ia kerana ego dan mahu mengambil kesempatan.
Semoga anda semua yang mahu membantu, dijauhkan sikap sebegini.
Moga Allah permudahkan kerja amal anda semua dan diterima sebagai amal soleh insya Allah. Amiin
Mohd Nasir Abdullah