Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi mempersoalkan pendirian AMANAH yang kini ‘bergabung’ dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mereka pernah kecam sebelum ini.
Beliau juga malah mengecam pemimpin parti itu yang sebelum ini menuduh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang cuba menyelamatkan UMNO yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Presiden PAS ketika itu bukan sahaja dikecam dari dalam PAS, malah daripada rakan-rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR), ketika itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk itu dalam satu kenyataan hari ini (24 Disember 2022).
Akibat daripada itu, Muhammad Khalil berkata PR berpecah dan bekas pimpinan PAS yang mendakwa Abdul Hadi mahu ‘bergabung’ dengan UMNO telah bertindak keluar daripada PAS kerana merasa begitu ‘keji’ dan ‘jijik’ dengan dakwaan tersebut.
“Maka keluarlah secara beramai-ramai mereka dari PAS lalu menubuhkan parti baharu yang diberikan nama Amanah dengan “tajaan” oleh parti DAP.
“Namun apa yang berlaku hari ini sewajarnya menjadi soalan buat “mereka“ yang keluar daripada PAS atas dakwaan tersebut, siapa sebenarnya yang mahu bersama UMNO dan Barisan Nasional?
“Begitu juga mereka yang meninggalkan Pakatan Rakyat kerana dakwaan PAS mahu “bergabung“ dengan UMNO dan Barisan Nasional, apa sudah jadi dengan dakwaan tersebut?,” soalnya lagi.
Muhammad Khalil berkata setelah meninggalkan PAS dan PR dan tertubuhnya Pakatan Harapan (PH), AMANAH melihat UMNO dan BN sebagai musuh utama mereka dan boleh dikatakan ‘berkerat nyawa’ untuk bersama parti itu.
Katanya AMANAH begitu tegar menentang UMNO dan BN pada PRU baru-baru ini (19 November 2022) sehinggakan didendangkan lagu ‘Hoi Ya Hoi’ bagi memaparkan begitu bencinya mereka pada UMNO dan BN.
“Namun akhirnya satu negara tertipu kerana mereka yang akhirnya ‘bergabung’ dengan UMNO dan BN.
“Ketika ini mereka lupa apa yang diungkapkan dahulu terutamanya kepada mereka yang telah meninggalkan PAS atas dakwaan Presiden mahu bawa PAS untuk ‘bergabung’ dengan UMNO,” katanya.
Natijahnya, menurut beliau rakyat tidak akan lupa dengan apa yang berlaku hari ini dan akan menghukum perbuatan mereka, pastinya pada PRU akan datang.
“Saya juga pasti bahawa Perikatan Nasional akan mampu pergi lebih jauh dan mendapat sokongan yang lebih meluas daripada segenap lapisan masyarakat akibat kesedaran politik yang memberangsangkan pada PRU-15 lalu.
Teruskan menyokong Perikatan Nasional kerana Perikatan Nasional, Prihati, Bersih dan Stabil.