100 Acara Pelancongan Menarik Di Terengganu

100 Acara Pelancongan Menarik Di Terengganu

Sebanyak 100 acara pelancongan dan kebudayaan yang menarik mengisi Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu bagi mencapai sasaran 3 juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu melibatkan 17 acara ikonik dan 83 acara lain yang disusun rapi oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

Menurutnya, penganjuran program itu sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Terengganu sekaligus menjadikan negeri ini sebuah destinasi utama percutian.

“100 acara ini dikumpulkan dari perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan serta kelab supaya tidak berlaku pertembungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran COE 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu yang turut dihadiri Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria di Hotel Paya Bunga, di sini pada Khamis.

Jelas Ariffin, Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (BTM) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 Februari nanti di Padang Astaka Kemaman merupakan acara pertama sebagai pembuka tirai COE 2023.

“Ia bakal disusuli dengan acara lain antaranya Konsert Cilik Gamelan, Karnival Merakyatkan Budaya, Kapas Marang Internasional Swimathon 2023, Karnival Pantai Terengganu, Fiesta Candat Sotong dan Pelita Raya Tradisi Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ariffin memaklumkan Terengganu berjaya mencapai sasaran seramai 3 juta pelancong pada tahun lalu dan pihaknya optimis dapat mencapai jumlah yang sama pada tahun ini.

Pelancongan Terengganu