Jangan Bakar Api Kebencian Menghina Suara Rakyat

Jangan Bakar Api Kebencian Menghina Suara Rakyat

Bagi masyarakat Melayu Islam, penduduk majoriti di tanah air, ‘Gelombang Hijau’ yang melanda negara rentetan PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini mencerminkan kesungguhan umat Melayu Islam bangkit menuntut perubahan ke arah pembinaan sebuah negara yang sejahtera, pimpinan yang berintegriti dan kehidupan yang bermoral buat semua.

Ini suara demokratik umat Melayu Islam yang mahu bebas dari kepimpinan yang tempang dan pincang yang menjejaskan nama bangsa dan agama.

Sepatutnya kesedaran politik ini dianggap sihat buat negara.

56 peratus umat Melayu Islam khasnya anak-anak muda telah merakamkan suara mereka mahukan Malaysia yang baik dan sejahtera.

Menganggap gelombang ini sebagai melampau, sesungguhnya mencemar dan menghina suara rakyat yang dilontarkan melalui proses demokrasi berparlimen.

Datuk Wong Chun Wai dalam ruangnya dalam akhbar The Star hari ini umpamanya menyerang langkah Kerajaan Kedah yang berhasrat mahu mengawal penjualan arak di negeri berkenaan. ‘Kawal’ bukan haramkan. 

Beliau entah dengan niat apa membuat perbandingan hasrat Kedah itu dengan langkah terbaru Dubai membatalkan cukai 30 peratus ke atas arak di sana serta menghentikan keperluan lesen alkohol dan lain-lain yang berkaitan.

Dubai berbuat demikian katanya untuk menarik pelancong ke negara berkenaan.

Wong walau bagaimanapun tidak berapa mengulas bahawa di Dubai pun penjualan arak hanya untuk kegunaan masyarakat bukan-Islam.

Bermakna ia juga di’kawal’.

Terapi mengapa bagi Wong langkah Kedah dianggap keras dan kuku besi?

Mengawal bermakna bukan mengharam tetapi mengizinkan penjualan namun dengan syarat-syarat sebagaimana berdekad amalan di negeri-negeri Pantai Timur tanpa isu.

Salahkah kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat menjalankan dasar sejajar dengan kehendak rakyat yang memilihnya?

Salahkah pemimpin Islam mahu membela hak umat Islam dalam pentadbiran namun dalam waktu yang sama memberi kelonggaran bersyarat kepada rakyat yang bukan-Islam.

Ternyata pihak-pihak tertentu tidak senang dengan ‘Gelombang Hijau’ cetusan suara majoriti umat Melayu Islam ini lalu berterusan menyerangnya.

Berhujah dan keluarkanlah pandangan secara beradab menghormati suara ramai.

Jangan adu domba atau hasut kebencian dalam waktu yang sama menghina suara majoriti.

Hidup di Malaysia ini biar saling hormat menghormati.

Bukannya guna kedudukan untuk menabur fitnah dan membakar api kebencian.

Kerap sangat Datuk Wong ini, tiada siapakah memantau atau hari ini dah bebas tulis ikut suka?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR 

Kolumnis