Rakyat Muak, Bosan Dengan Cara UMNO: Amaran Hishammuddin

Rakyat Muak, Bosan Dengan Cara UMNO: Amaran Hishammuddin

Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Hussin yang kesal dituduh pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, hari ini (23 Januari 2023) mengingatkan UMNO bahawa rakyat telah muak dengan cara pemimpin parti berbalah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong, turut kecewa apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang sedang berlangsung sekarang dijadikan platform untuk pemimpin bercakaran dan menyalahkan antara satu sama lain.

“Saya nak ingatkan semua pihak, orang di luar sana sudah muak, bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah, menuduh sesama kita kerana penting untuk parti lihat ke hadapan.

“Kita akan berdepan dengan pilihan raya negeri. Kita sudah kalah dalam pilihan raya umum. Saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

“Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platfom PAU ini untuk bercakaran berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita cukup-cukuplah,” katanya memetik laporan FMT.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersama Lembaga Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang bertindak menyokong Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada lagi gerakan pembentukan kerajaan dengan membelakangi keputusan parti.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan tidak tahu mengapa dirinya dan sembilan lagi Ahli Parlimen BN digelar pengkhianat kerana memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Beliau berkata, mereka akhirnya mengikut ketetapan parti dan menarik semula sokongan berkenaan.

“Sehingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat. Saya cukup yakin bahawa apa yang telah berlaku, tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

“Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah tak ada benda yang saya perlu bimbang,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan dasar presiden pada PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Hishammuddin berkata, mereka menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin berdasarkan pendirian awal BN untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Jelas beliau, pihaknya konsisten sebelum ini kerana peringkat awal usaha bersama-sama PH bercanggah dengan pendirian parti sendiri.

“Jadi kita buat SD berkenaan tetapi bila parti sudah buat keputusan, kita berkecuali pada satu ketika dahulu (tidak menyokong PH atau PN), kita tarik balik SD berkenaan.

“Selepas itu bila Agong bertitah, kita setuju wujudkan kerajaan perpaduan. Kita pun anggap itu kehendak parti lalu kita setuju. Jadi, di mana pengkhianatannya,” soalnya.

UMNO