Aku dengar ada isu berkenaan bekalan telur.
Ada yang cerita telur tak ada di pasaran, kemudian tiba-tiba ada selepas PRU dengan baki tarikh luput tinggal tak berapa hari sahaja lagi.
Aku juga dengar yang ayam banyak, tapi telur tak ada, walaupun memang ada jenis ayam telur dan ayam daging.
Aku dengar juga yang telur akan diimport dari Tamil Nadhu India.
Dalam masa yang sama, aku dengar, Malaysia adalah antara pengeluar telur ayam terbesar dunia, sehinggakan beberapa syarikat pengurusan telur ini, ada disenaraikan dalam bursa saham.
Baiklah, aku tak mahu campur hal ini kerana aku sudah muak dan jelak dengan kisah telur. Fobia orang kata.
Jadi aku hanya mahu bercerita tentang kenapa aku jadi fobia dengan telur, bukan bagaimana cara untuk negara keluar dari isu telur ini.
Dulu, sewaktu bujang, aku seorang peminat telur.
Aku cukup suka makan telur.
Kalau nasi lauk telur goreng dan kicap sajapun, aku boleh habiskan berpinggan-pinggan.
Apalagi kalau lauk gulai telur, sambal telur, kari telur dan banyak lagilah menu berkait dengan telur, maka ia akan menambahkan lagi selera aku.
Kemudian akupun berkahwin.
Tidak semena-mena, minat aku dengan menu-menu telur ini, jatuh mendadak.
Entah kenapa, aku tidak lagi bernafsu dengan telur.
Aku biarkan sahaja apa isteri aku hidangkan, aku makan.
Tiada permintaan istimewa sebagaimana aku meminta kepada ibu aku memasakkan lauk telur dulu-dulu.
Satu hari minggu, aku keluar berjogging dan isteri aku tidak mahu ikut sama.
Aku sengaja lepak di kawasan jogging lama-lama, cari ilham kata orang.
Kemudian aku nampak sebuah warung yang agak lengang, lalu aku singgah bagi melepaskan penat.
Dan setelah sekian lama aku tidak berhubungan dengan telur, tiba-tiba, aku lihat sepinggan telur, ada di atas meja di warung itu.
Aku secara tiba-tiba datang rindu kepada telur.
Dengan tenang, aku koyakkan sebiji telur, sambil meletakkan kicap di atasnya, sambil mengunyah, sambil aku terkenang zaman bujang dahulu.
Tanpa aku sedari hampir 10 biji aku menelan telur-telur itu.
Tiba-tiba, isteri aku menghubungi aku bertanya aku berada di mana.
Dia mengajak aku pulang ke rumah. Aku segera pulang.
Sesampainya aku di depan pintu rumah, isteriku telah menyambutku dengan membawa saputangan.
“Abang jangan buka mata tau, sayang nak bagi surprise”, kata isteriku.
Alah, layankan sajalah. Akupun ikut sahaja dia pimpin tangan aku ke dapur.
“Abang jangan buka, abang janji tu, sayang nak abang janji”, desak isteri aku lagi.
“OKlah, OKlah,” jawab aku tak mau potong stim dia.
“Sayang datang balik nanti, kejap jer,” kata dia lagi.
Sementara aku tunggu dia datang, perut aku rasa memulas-mulas.
Mungkin kesan telur tadi, entahlah.
Akupun angkat sedikit punggungku, melepaskan angin yang terkumpul. Arrhhh lega.
Isteri aku dah keluar tadi. Datang lagi angin, aku layan lagi, kali ni dengan sedikit bunyi trompet, sebab lubang agak tersepit.
Fuh, lega, nasib baik tak terkucil.
Untuk kali ketiga, aku lepaskan dengan tenang dan nyaman, agak panjang, tanpa bunyi, tapi dia punya bau, dengan ramuan 10 biji telur tadi, boleh pengsan orang yang menghidunya.
Sangat memuaskan hati.
Dan sementara tunggu isteri aku datang balik, aku rasa mungkin sudah lapan kali aku melepaskan gas semulajadi itu ke persekitaran.
Tiba-tiba selang beberapa minit aku dengar bergegas isteri aku datang dan isteri aku berteriak….suprise…!!!!!
Dan dia tanggalkan saputangan di mata aku itu.
Aku lihat depan aku ada mak ayah mertua aku, jiran aku, bos tempat kerja aku, imam dan beberapa orang surau, duduk keliling meja makan.
Rupanya isteri aku buat sambutan ulangtahun perkahwinan dan dia sudah rancang dengan semua tetamu tu.
Dengan nada lemah, aku menyapa ayah mertua aku.
“Bila abah sampai, dah lama dah ke?
Aku cuba buat-buat mesra.
“Taklah lama sangat, dari kentut yang pertama tadi, abah dah ada,” jawab dia sambil memandang mak mertua aku yang ada di sebelahnya.
Aku juga tersenyum pahit memandang imam dan jemaah surau yang wajahnya kelihatan lebih pahit, bagi tertelan peria.
Sepertinya ada lagi sisa-sia bau telur itu melekat di tekak mereka.
Manakala bos aku buat-buat baca mesej.
Semenjak hari itu, aku kembali fobia dengan telur.
Dan kerana itu jugalah aku tidak peduli dengan harga telur, samada naik atau turun, diimport dari India atau China.
*Penafian: Aku dalam cerita ini, bukan merujuk kepada aku yang menulis. Aku mendapat cerita aku ini melalui seseorang yang aku lupa siapa dia. Aku sendiri tidak mengenal aku yang ada dalam cerita ini kerana tiada siapa yang mengaku dia adalah aku itu. Jadi aku menafikan sebarang tuduhan kepada aku, sebagai aku dalam cerita itu. Aku bukan aku….
Mohd Nasir Abdullah