Antara Sedekah PAS Dan Rasuah UMNO

Antara Sedekah PAS Dan Rasuah UMNO

Boleh sakitlah UMNO sekali lagi.

Yang dikejar tak dapat. Yang dikendong berciciran.

Petisyen pilihanraya telah dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said agar kemenangan PAS di Parlimen Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu dibatalkan.

Ada beberapa motif petisyen itu dibuat.

Antaranya, UMNO nak menunjukkan PAS adalah parti kotor yang menang secara kotor.

Inilah mukadimah dari bilik perang UMNO bagi menghadapi PRN yang akan berlaku di 6 buah negeri beberapa bulan lagi.

Ketika mengulas tentang petisyen tersebut, Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) memberi komen ringkas perbezaan maksud rasuah dan sedekah dengan berkata, “Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia.”

Susulan daripada komen tersebut, Presiden UMNO yang kekal takut bertanding, Zahid Hamidi memperli PAS konon apabila PAS buat dikatakan sedekah dan apabila UMNO buat dikatakan rasuah.

Apa maksud sedekah yang dikatakan oleh TGHH?

Dalam menghadapi mana-mana pilihanraya, PAS terkenal dengan Tabung Tin Milo dan Tabung Jihadnya.

Ahli-ahli PAS menabung duit-duit syiling dan duit-duit kertas berbulan-bulan sebelum pilihanraya.

Apabila Parlimen atau DUN dibubarkan, tabung-tabung sedekah ini mula dikumpulkan dan dipecahkan.

Sedekah ini datang mencurah-curah daripada hasil jualan getah sekerap para penoreh hingga kepada not-not seratus ringgit daripada golongan berada dalam jamaah.

Dan tidak dilupa dimaklumkan bahawa hampir semua pemimpin PAS khususnya wakil rakyatnya bersedekah kepada parti secara tetap dengan menyumbangkan 10% atau lebih daripada elaun dan pendapatan bulanan untuk parti.

Ada pula ahli dan pemimpin yang mewakafkan tanah dan kenderaan untuk urusan-urusan parti.

Duit-duit sumbangan ahli inilah yang akhirnya digunakan untuk membeli bendera, peralatan kempen, mengadakan program dengan masyarakat dan sumbangan kepada perantau yang memerlukan bantuan kewangan sebagai duit minyak kenderaan.

Inilah yang dimaksudkan sedekah oleh TGHH yang tidak berlaku dalam UMNO.

PAS tak ambil harta kerajaan untuk menggerakkan parti.

Duit-duit sedekah itulah dibelanjakan mengikut lunas-lunas demokrasi.

PAS tak pernah meminta pengundi bersumpah untuk pangkah PAS sebelum beri duit minyak.

Duit minyak hanya diberi selepas mengundi kepada ahli-ahli PAS untuk meringankan beban kewangan perantau yang pulang mengundi dari jauh.

Duit itu datang daripada poket ahli-ahli PAS yang dikumpulkan atas semangat jihad yang tak pernah berhenti.

Amat berbeza sekali dengan apa yang UMNO cuba sembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.

Tersebar beberapa video mungkin daripada ratusan perlakuan buruk UMNO yang terang-terang memberi wang kepada pengundi dengan bersumpah untuk mengundi UMNO seperti apa yang berlaku di Dungun, Terengganu.

Ada pula video yang menunjukkan program kempen UMNO diisi dengan cabutan bertuah dengan harapan pengundi akan undi UMNO.

Ada pula berselindung atas nama ahli PAS masuk UMNO diberi RM300 setelah isi borang menjadi ahli UMNO.

Di Parlimen Bagan Datuk sendiri terpapar beg-beg beras dengan cap dacing.

Kerja kotor ini telah sekian lama subur dalam UMNO.

Tetiba hari ini, Zahid Hamidi dan Mat Said mahu memalitkan rasuah politik kepada PAS dengan harapan anak-anak muda tidak lagi mengundi PAS/PN pada PRN-PRN nanti.

Kalaulah dimaksudkan rasuah itu merupakan pemberian kerajaan kepada rakyat di musim pilihanraya, Zahid Hamidi dan Ahmad Said sepatutnya membuka balik sejarah rasuah pilihanraya dalam UMNO.

Amalan pemberian wang dan projek sampai di depan tangga telah setengah abad membarah dalam kerajaan UMNO.

Ketika itu UMNO/BN menguasai 100% media massa.

Maka segala perlakuan buruk UMNO disembunyikan agar UMNO/BN dilihat sebagai parti suci.

Di zaman tik tok ini, rakyat dapat melihat dan menilai dengan mata akal dan mata kepala sendiri kebobrokan UMNO.

Inilah sebenarnya punca kepercayaan rakyat kepada UMNO jatuh merudum.

Bukankah pelbagai bantuan untuk rakyat sudah ada di dalam manifesto PRU14 PAS?

Apabila berjaya membentuk kerajan, I-Bantuan dirancang dan dilaksanakan mengikut keutamaan di dalam kalendarnya.

Ketika merancang tarikh pengagihannya, PAS tidak jangka pun PRU15 akan diadakan dalam musim tengkujuh.

Tiba-tiba si pelahap yang sedang menghadapi kes-kes mahkamah mendesak PM Ismail Sabri ketika itu agar dibubarkan Parlimen.

Maka, terbubarlah Parlimen secara mengejut lalu diadakan pilihanraya mengejut; bukannya I-Bantuan mengejut.

Cuma manusia yang jahat hati perut dan busuk pedal sahaja menuduh PAS merasuah pengundi yang terkejut.

Kesimpulannya, Zahid Hamidi dan Mat Said mahu menjadikan PAS sebagai ‘scapegoat’ atas kegagalan mereka mengemudikan pilihanraya.

Kononnya, biar rakyat nampak PAS tak jujur.

Maka ahli UMNO lupalah malapetaka yang berlaku kepada UMNO adalah kerana ketua-ketua mereka yang cuba menormalisasikan DAP dalam perjuangan masa depan UMNO.

Salam Muhammad

Kolumnis