Penganalisis memberi amaran sukar untuk Umno mengembalikan status dominan dalam landskap politik negara, apabila parti itu memecat dan menggantung ramai pemimpin yang tidak sehaluan dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Mereka turut menyamakan kekuatan Umno dahulu dengan parti-parti dominan dari negara lain yang kini tidak berjaya mengekalkan status mereka.
Antaranya Partai Golongan Karya (Golkar) yang pernah mendominasi politik Indonesia sejak 1972, dan Kongres Kebangsaan India (INC) yang mendominasi politik India sejak 1952.
Golkar kini tidak menjadi pilihan utama rakyat republik itu manakala INC kalah teruk pada pilihan raya 2014.
Begitu juga Umno yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) selama ini yang berjaya mendominasi dua pertiga Parlimen, sehinggalah prestasinya turun mendadak bermula 2008.
Pemerhati politik veteran, Azizi Safar berkata, pilihan untuk Umno bangkit semula bertitik-tolak daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.
“Umno boleh pilih nak jadi macam Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun atau Golkar di Indonesia.
“LDP bangun semula jadi parti dominan kerajaan pemerintah di Jepun selepas kalah satu pilihan raya saja.
“Golkar sehingga ke hari ini tidak kembali jadi parti dominan dalam politik Indonesia, walaupun masih mendapat sokongan,” katanya yang merupakan bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada minggu lalu memecat bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin, dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.
MKT turut menggantung keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, bekas ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Mohd dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.
Parti itu kalah teruk pada PRU15 dengan hanya 26 kerusi Parlimen.
Zahid sendiri hanya menang di Bagan Datuk dengan majoriti lebih 300 undi.
Namun ia masih berada dalam kerajaan setelah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut Azizi, Umno gagal melakukan reformasi atau reset yang diperlukan sebelum menghadapi PRU15 lalu yang membawa kepada kehilangan lebih banyak kerusi pada PRU15 berbanding PRU14.
“Isu utama yang menyebabkan Umno kalah lebih banyak kerusi pada PRU15 adalah penolakan rakyat terhadap kepimpinan tertinggi Umno.”
Bekas pensyarah di Institut Hubungan Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Mansor Mohd Noor berkata, di sebalik kekalahan itu, Umno dilihat masih meletakkan punca masalah kepada pihak lain, seperti kegagalan “poster boy” Ismail Sabri Yaakob, dan video TikTok Perikatan Nasional (PN).
“Suara akar umbi yang menolak mereka kerana amalan rasuah dan gagal menjaga bangsa Melayu tidak diendahkan,” katanya.
Katanya, kepimpinan Umno sememangnya tidak suka dikritik dan hanya mahu mendengar berita baik.
Lebih malang, penyampai maklumat gemar mendiamkan diri apabila data kajian mereka mendedahkan dapatan yang tidak begitu memberangsangkan.
“Kepimpinan Umno jarang mahu belajar daripada kesalahan mereka untuk bangkit.
“Sejak 2008, apabila mereka tewas beberapa negeri dan hilang dua pertiga Parlimen, sehinggalah hanya ada 26 kerusi Parlimen, mereka masih yakin bahawa mereka adalah ‘king maker’,” katanya merujuk kepada kehilangan kuasa parti itu secara beransur-ansur.
Katanya, sikap sombong dan bongkak ini menyukarkan kebangkitan Umno, bahkan katanya ia membawa parti itu kepada kepupusan.
Prospek yang sugul itu turut dikongsi oleh Azizi.
Katanya, siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini akan menjadi indikator utama.
“Jika Umno kembali mendapat sokongan rakyat, menang semua atau menang banyak kerusi-kerusi yang diberikan kepada Umno melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan, Umno masih ada harapan untuk kekal signifikan dalam politik negara, walaupun tidak jadi parti yang dominan.
“Bagaimanapun, jika keputusan pada enam PRN nanti sama buruk seperti pada PRU15, Umno perlu fikir semula hala tujunya, juga kerjasama politik dengan PH.”
Katanya, parti itu dilihat akan menjadi lebih buruk daripada INC dan Golkar kerana hanya berperanan sebagai parti yang mencukupkan bilangan bagi membentuk kerajaan, jika tiada usaha mengubah sokongan rakyat.