Royalti

Royalti

Saya gunakan istilah ‘royalti’ dalam penulisan sebagai suatu istilah umum yang paling mudah difahami oleh masyarakat awam bagi maksud bayaran hasil minyak kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar minyak.

Untuk lebih detail, saya tulis sikit kronologi royalti minyak Terengganu.

Terengganu mula menerima royalti minyak dari 1978 sehinggalah royalti dirampas pada tahun 2000 ketika PAS mentadbir Terengganu.

Usul supaya tarik balik royalti ini diusulkan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000.

Royalti bermakna bayaran tunai langsung sebanyak 5% dari hasil petroleum oleh Petronas terus ke dalam akaun Kerajaan Negeri sebanyak 2 kali setahun, dilakukan pada bulan Mac dan September setiap tahun.

Selepas tahun 2000, tiada lagi bayaran langsung oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri.

Wang Ehsan mula diperkenalkan.

5% yang sepatutnya diterima langsung oleh Kerajaan Negeri dari Petronas telah diambil oleh Kerajaan Pusat dan disalurkan kepada JPP dan agensi Pusat lain.

Tiada lagi penyaluran terus dari Petronas kepada akaun negeri sebagaimana maksud royalti yang asal.

Apabila BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, wang ehsan disalurkan kepada Kerajaan Negeri oleh MOF samada dalam bentuk tunai atau pun perlaksanaan projek.

Antaranya kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.8 bilion adalah menggunakan duit minyak hak Negeri Terengganu.

Sehingga sekarang Kerajaan Pusat masih terhutang RM1.4b kos pembinaan LPT2 kepada Kerajaan Terengganu.

Malah duit minyak Terengganu juga digunakan untuk pelbagai projek pembangunan perumahan di negeri-negeri lain.

Apabila PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Wang Tunai Petroleum’ pada zaman Kerajaan PH dengan dipotong 25% sebagai bayaran hutang Negeri kepada Pusat tinggalan Kerajaan lepas sebanyak RM800j.

Sebanyak RM600j bayaran hasil minyak Terengganu sempat dipotong oleh Kerajaan Pusat zaman LGE jadi MOF.

Dalam masa yang sama, RM1.4b hutang LPT2 Kerajaan Pusat kepada Terengganu masih tak terusik.

Apabila berlaku perubahan Kerajaan Pusat selepas 22 bulan PH memerintah, bayaran pitih minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’ (DKKP).

Ringkasnya samada istilah Royalti atau Wang Ehsan atau Wang Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, kesimpulannya Terengganu memang berhak menerima sejumlah bayaran dari hasil petroleum yang diambil dari Perairan Terengganu.

Bagi kami apa istilah yang digunakan itu tak penting.

Tapi wang hak rakyat Terengganu wajib dibayar.

Dr. Azman Ibrahim

Ekonomi