Baru-baru ini heboh tentang pembatalan kuliah Ustaz Azhar Idrus di masjid kerana tiada tauliah.
Selang tak beberapa lama, keluar pula larangan ahli politik mengajar dan menyampai khutbah.
Isu-isu ini menjadi polemik dalam masyarakat.
Ada pro dan kontranya.
Dalam al-Quran ada ancaman terhadap manusia yang menghalang rumah-rumah Allah dimakmurkan.
Majlis ilmu adalah salah satu kaedah memakmurkan rumah Allah.
Asatizahnya pula terdiri tuan-tuan guru dan asatizah yang berkelayakan dari segi ilmunya.
Politik pula salah satu juzuk dalam Islam.
Jadi, terpulanglah kepada manusia sama ada hendak mencabar firman Allah atau sebaliknya.
Masing-masing boleh memberi alasan dan berhujah di hadapan Allah apabila ‘dijemput’ tidak berapa lama lagi.
Dalam setiap keluarga, ayah adalah ketua agama.
Tugas ayah bukan sekadar membesarkan anak-anak.
Malah menjadi kewajipan baginya mendidik, menegur dan membimbing.
Jarang kita disedarkan bahawa ayah itu ketua agama dalam keluarga.
Yang biasa kita dengar ialah raja-raja menjadi ketua agama dalam negeri dan negara.
Apakah peranan ketua agama?
Seorang ayah wajib menjaga kemaslahatan agama.
Agama mesti ditinggikan daripada segala agenda.
Meletakkan agama di tempat yang tinggi adalah matlamat.
Ilmu-ilmu agama mesti disampaikan kepada anak-anak dan isteri yang menjadi ‘rakyatnya’.
Kalau tak mampu, jemput para asatizah memberi ilmu atau hantar ‘rakyatnya’ menuntut ilmu dengan para asatizah.
Dalam keluarga, ada hukum Islam yang wajib dilaksanakan.
Hukum suruh anak-anak solat.
Hukum larang anak-anak keluar dari rumah dengan mendedahkan aurat.
Apabila nak kahwin, ada hukum munakahat.
Ada hukum memberi nafkah dan sebagainya.
Semua hukum ini mesti didaulatkan oleh ketua agama.
Apa erti menjadi ketua agama kalau perkara-perkara tersebut diabaikan?
Orang hina Islam, kita diam.
Apabila Islam diasak ditekan, kita buat tidak ketahuan.
Anak yang nak dirikan Islam, kita beri syarat dan larangan.
Ustaz nak datang mengajar, kita nak tengok tauliah.
Sebaliknya, apabila anak nak TV 65 inci, kita usaha beli.
Anak nak tengok konsert, kita pun nak tumpang pergi.
Anak buat balik jantan bukan mahram, kita alu penuh kebanggaan.
Bertuahlah anak-anak yang mempunyai ketua agama yang menyayangi agamanya.
Bukan sahaja kedudukan agama akan sentiasa terjamin, anak-anak juga akan bahagia dan selamat sampai ke destinasi akhirat.
Malanglah seorang anak yang mempunyai ayah yang berada dalam zon selesa kerana besar jawatan dan banyak hartanya tetapi miskin agama.
Anak-anak yang cintakan dunia mungkin berbangga dengan watak dan perangainya.
Tetapi bagi anak-anak yang soleh, mereka akan rasa kecewa dan terseksa.
Namun merekalah yang tidak putus-putus mendoakan hidayah untuk ayahnya.
BayangDiAir