Benarkah kerajaan hari ini zalim?
Untuk menjawabnya, kita perlu mengetahui maksud zalim yang sebenarnya.
Dari sudut bahasa, zalim bermaksud jahat, khianat dan melakukan perbuatan yang tidak berhati perut.
Manakala dari sudut agama, zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Bertolak dari premis tersebut, kita boleh menilai sama ada kerajaan hari ini zalim atau tidak.
Dan sewajarnya jangan lupa untuk menilai diri sendiri sama ada kita tergolong dalam golongan penyokong kezaliman atau tidak.
Dalam al-Quran Allah larang cenderung kepada kezaliman dengan ancaman neraka.
Cenderung sahaja pun sudah salah. Apalagi menyokong kezaliman.
Jangan pula berkata saya hanya sokong perkara-perkara baik yang dilakukan oleh kerajaan.
Saya tak sokong apa-apa kezaliman yang kerajaan lakukan.
Boleh jawab begitu di depan manusia tetapi bolehkah berdalih di hadapan Allah nanti?
Dalam politik, setiap parti politik dan pemimpin ada ‘track record’ masing-masing.
Track record tersebut menjadi bukti sama ada sesebuah parti atau pemimpin itu baik atau buruk, berdosa atau berpahala.
Rakyat yang celik akan melihat ‘track record’ ini sebelum memberi sokongan atau undi.
Hanya rakyat yang dangkal menyokong dan memberi undi secara semberono atau mengikut nafsu.
PH ada track recordnya kerana pernah memerintah 22 bulan.
BN lagi panjang track recordnya.
PAS pun sudah ada track recordnya baik di peringkat negeri atau nasional.
Pemimpin pula ada track recordnya.
Lim Guan Eng, Hannah Yeoh, Nga Kor Ming ada track recordnya.
Zahid Hamidi dan Bung Karno ada track recordnya.
Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man juga ada track recordnya.
Track record boleh dijadikan panduan sebelum memberi sokongan dan undi.
Tiba-tiba PH dan BN menjadi kerajaan sekali lagi.
Mengikut analisis, kerajaan ini hanya disokong oleh sekitar 30% Melayu/Islam.
Sebahagian besarnya adalah penyokong UMNO.
Merekalah pada hari ini yang mempertahankan kerajaan daripada serangan pembangkang.
Mereka bukan sahaja cenderung dan sokong, malah mereka umpama soldadu kecil yang melastik sesiapa yang cuba mengecam kerajaan.
Terpulang kepada mereka untuk menilai zalim atau tidaknya sesebuah kerajaan atau pemimpin.
Mereka tahu royalti petroleum kepada kerajaan negeri-negeri yang dikuasai oleh melayu/Islam Kelantan dan Terengganu disekat.
Mereka tahu penghapusan pinjaman kepada para peneroka dibatalkan.
Mereka tahu adanya agenda ‘memperkenakan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka boleh nampak agenda untuk menyelamatkan kluster mahkamah sebagai balasan mengenang budi.
Mereka tidak lagi membicarakan tentang penyelewengan projek kapal LCS.
Mereka tahu adanya usaha-usaha menyekat dakwah atas nama tauliah.
Mereka juga tahu adanya cubaan ‘memperkenalkan’ Kristian kepada belia dan beliawanis muslim atas nama Jom Ziarah Gereja.
Mereka tahu ‘mentega sedang terbang’ dengan motif dan propaganda yang sama.
Dan mereka tahu siapa di sebalik grandmaster Islamophobia yang menakut-nakutkan rakyat dengan Islam.
Kesimpulannya, terpulanglah kepada diri sendiri kerana diri sendiri yang akan menjawab di hadapan Tuhan.
Namun apa salahnya untuk mentadabbur ayat 113, surah Hud berikut:
وَلَا تَرْكَنُوْٓا اِلَى الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُۙ وَمَا لَكُمْ مِّنْ
دُوْنِ اللّٰهِ مِنْ اَوْلِيَاۤءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُوْنَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak akan diberi pertolongan.”
BayangDiAir