Komen Tentang Isu ‘Jom Ziarah Gereja’ Yang Dibangkitkan Di Parlimen

Komen Tentang Isu ‘Jom Ziarah Gereja’ Yang Dibangkitkan Di Parlimen

Dalam tulisan kali ini, aku ingin mendedahkan bagaimana cacatnya jiwa muslim yang menyokong DAP.

Semalam aku ada menulis tentang beberapa contoh kezaliman kerajaan untuk dinilai agar jangan ada umat Islam yang cenderung kepadanya.

Tajuk artikelnya “Zalimkah Kerajaan PHBN?”.

Kali ini aku teringin mengulas satu komen oleh seorang facebooker yang tak ingin aku sebutkan nama dan identitinya.

Perangai golongan pentaksub DAP ini sama sahaja walau atas nama apa sekalipun.

Dalam banyak-banyak contoh kezaliman yang perlu dinilai, beliau lebih berminat untuk menghentam PAS dan ulamanya.

Beliau menuduh PAS menghalalkan cara dan menunggang agama.

Tiada satu contoh diberikan untuk dibahas di sini.

Sebaliknya beliau seolah-olah berbangga dan berpuas hati dengan ucapan Hannah Yeoh, Menteri Belia Dan Sukan, apabila beliau berkongsi video perbahasan di Parlimen berkaitan isu program Jom Ziarah Gereja.

Gelagat golongan ini benar-benar sama ketika wujudnya Geng 18 yang menyerang Presiden PAS sebelum wujudnya PAN.

Ketika itu, Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) diserang oleh Geng 18 AJK Pas Pusat sendiri.

Geng ini akan mempertahankan dan membenarkan segala perlakuan dan ucapan pemimpin DAP yang menyerang TGHH.

Sebaliknya TGHH diseranah apabila menyerang balas DAP.

Sejarah itu masih subur kerana adanya watak-watak anak didik baru yang berterusan mencerca dan memaki ulama.

Aku teliti ucapan di dalam video tersebut di mana Hannah Yeoh seolah-olah ‘memperkena’ TGHH dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM).

Pemimpin DAP tersebut mengambil petikan daripada Harakahdaily di mana TGHH sendiri pernah melawat sebuah gereja di Sarawak manakala TITM mengatakan tidak salah umat Islam hadir ke gereja.

TITM pula memberi contoh bagaimana Saiyidina Umar pernah masuk ke gereja di Palestin.

Ada dua isu di sini.

Isu pertama ialah bagaimana wujudnya manusia-manusia yang mengaku Islam tetapi lebih mempercayai ucapan para kafirun berbanding ulama sendiri.

Manusia seperti ini tidak mengakui keilmuan para ulama sebaliknya menggelar ulama-ulama yang membicarakan tentang politik sebagai penunggang agama.

Golongan ini akan mudah melenting apabila dicop sebagai pembawa Islam liberal, munafik hakiki atau cetek agama.

Namun apabila difahami gejala akhir zaman di mana yang benar dianggap pembohong manakala penipu dianggap benar, maka kita tidak akan hairan akan kecelaruan ini.

Isu kedua ialah berkait dengan ucapan Hannah Yeoh yang dipandang lebih jujur dan lebih benar daripada TGHH dan TITM oleh pentaksubnya.

Kononnya, TGHH dan TITM memalukan Islam apabila kenyataan mereka tidak konsisten dan menjadi bahan bidasan oleh Ahli Parlimen Segambut itu.

Hannah Yeoh menafikan program Jom Ziarah Gereja bertujuan mempromosi atau mengkristiankan pemuda pemudi Islam.

Baginya, tidak salah menjemput umat Islam ke gereja sebagai satu proses saling mengenali agama berbeza.

Justifikasinya ialah TGHH dan TITM pernah berkata demikian.

Isunya ialah Jom Ziarah Gereja adalah satu program.

Apabila disebut program sudah pasti ada objektifnya.

Objektif pula terbahagi kepada dua iaitu yang tersurat dan tersirat.

Yang tersurat pasti cantik dan tulus mulus.

Tetapi agenda tersirat yang tersembunyi di dalam hati dapat dibaca oleh manusia yang tajam mata hatinya.

Sebab itulah peribahasa ada mengatakan sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betinanya.

Justeru program yang sudah pasti ada objektif tertentu ini tidak layak sama sekali untuk disamakan dengan kunjungan Saiyidina Umar dan TGHH ke geraja.

Lebih-lebih lagi golongan yang terbuka untuk menyahut ajakan menziarahi gereja ini adalah umat Islam atau muda mudi cetek agama yang mudah diracuni fikiran dan iman mereka.

Memang dari segi hukum tak salah berkunjung ke gereja atas sebab-sebab yang diharuskan.

Hannah Yeoh itu manusia yang tidak beriman dengan al-Quran.

Jadi tidak peliklah dia tidak tahu hukum-hukum Islam mengikut situasi yang berbeza.

Dia mana tahu orang Islam diharuskan makan babi apabila terpaksa.

Yang dia tahu haram makan babi sahaja.

Tetapi apabila ada manusia-manusia yang berkonflik dengan ulama sendiri, kita jadi amat bingung dan kesal.

Manusia seperti inilah yang sangat galak menuduh ulama sebagai penunggang agama.

Manusia seperti inilah lebih teruja dengan kata-kata Nga Kor Ming bahawa Islam yang dibawa oleh Anwar Ibrahim dalam pentadbirannyalah adalah Islam yang sebenar.

Apalah jadahnya seorang kafir boleh tentukan mana Islam yang sebenar dan mana pula Islam yang salah.

Malangnya, ada segelintir dari kalangan yang bernama muslim, terpesona dengan ucapan golongan yang tidak beriman dengan al-Quran.

Natijahnya, para munafik dan liberalis ada ciri-cirinya yang sukar dinafi.

Mereka ini akan menganggap semua pejuang Islam sebagai penunggang agama.

Adapun kepada pemimpin DAP dinasihatkan agar jangan berhujah tentang Islam yang memang bukan anutan dan bidangnya melainkan kalian memang mempunyai niat yang tidak baik pada Islam.

Kalau bercakap juga tentang perkara yang bukan bidang kalian, sah kalian hanya mempamerkan kebodohan atau kebencian kalian terhadap Islam.

Kami sentiasa mengawasi tindak-tanduk gerakan Islamophobia yang ditaja oleh musuh-musuh Islam di seluruh dunia terutama di bumi Jawi ini.

BayangDiAir

Kolumnis