Sebagai pemerhati politik, penulis mengikuti perjalanan hidup PM10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Sebagai ahli PAS, penulis kecewa dan kesal dengan corak pentadbiran dan tindakan-tindakan yang diambil oleh beliau dan kerajaannya.
Manakala sebagai insan biasa, penulis kadang-kadang rasa simpati terhadap beliau kerana dalam 100 hari menjadi PM, kritikan dan cercaan datang bertalu-talu sehingga menjadikan beliau kelihatan ‘koyak’.
Sesiapa pun menjadi PM di era medsos ini, kritikan dan kecaman bukan sahaja dihambur di Parlimen, malah serangan daripada warganet akan datang tak tersangga.
Kalau Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) seorang ulama yang dihormati oleh ummah di dalam dan di luar negara pun dicerca dan difitnah oleh manusia seagama dan sebangsanya sendiri, maka tidak pelik seorang tokoh politik yang berstigma dengan kejelekan akhlak dan kesilapan akan dibedal dan dibedil sepanjang masa.
Najid, Mahathir, Muhyiddin Yassin telah merasainya.
Malah Ismail Sabri lebih terkilan kerana diserang oleh orang-orang partinya sendiri sehingga tercampak ke tepi.
Penulis mengagumi Anwar dari sudut kecekalannya merentasi ranjau berduri perjuangan.
Sejak tersingkir daripada kerajaan dan UMNO pada 1998, baru pada Disember 2022 beliau berjaya berada di mercu kuasa.
Selama 20 tahun lebih beliau menjadi kembara politik bergilir-gilir di habitat mahkamah, penjara sebelum Putrajaya.
Hanya ada beberapa tokoh seruncing itu kehidupan yang akhirnya berpeluang menjadi ketua negara.
Malangnya bagi seorang yang pernah menjadi naqib usrah, beliau menjadi seorang PM yang salah.
Salah beliau bermula apabila keterlaluan kemaruknya kepada undi India dan Cina.
PAS sendiri pun memerlukan undi India dan Cina untuk membentuk sebuah model negara contoh ‘multiracial’ yang terbimbing oleh agama.
Namun keperluan itu tidaklah sampai menjadikan PAS menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan Islam.
Tetapi tidak bagi DSAI.
Inilah kesilapan awal yang menyebabkan 85% Melayu akhirnya menolak dan meninggalkannya.
Apabila DSAI berjaya menjadi PM, kerana terhutang budi beliau terkhilaf melantik Zahid Hamidi menjadi TPM.
Tindakan beliau yang dianggap songsang ini menimbulkan rasa tidak puas hati kawan dan lawan.
Manakala agenda untuk memartabatkan Islam dan Melayu kelihatan terpinggir.
Sebaliknya agenda yang sesuai dengan DAP dilariskan dalam pasaran.
Orang Melayu menjadi semakin marah.
Justeru, kemarahan itu disuarakan melalui medsos secara bertali arus.
Ini ditambah lagi kegagalan beliau dan kerajaannya melaksanakan janji-janji pilihanraya.
Kebobrokannya tersimpul dalam kata-kata yang sudah menjadi klise, “cakap tak serupa bikin”.
Itu yang dilihat oleh rakyat. Anwar perlu merenunginya. Muhasabah yang jujur perlu dilakukannya.
Setiap manusia ada berbuat silap.
Fitrah manusia akan memaafkan jika kesilapan itu diperbetulkan dengan penuh keinsafan.
Anwar pernah berjaya dengan dasar Islamisasi ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Beliau tahu liberalisme dan pluralisme itu salah.
Beliau tahu mungkir janji dan berbohong itu salah.
Maka sewajarnya, dogma yang karut diubah menjadi paradigma yang indah.
Sebagai naqib usrah, pastinya beliau selalu baca ayat 56 surah az-Zariyat yang bermaksud, “tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.”
Anwar tahu itu semua.
Malangnya Anwar amat bergantung hati kepada undi ‘mereka’.
Lalu tersadung rebah di kaki bangsanya.
Moga ada sinar di hujung terowong kehidupannya.
BayangDiAir