Jarang sekali orang-orang PH mahu menggunakan agama dalam perlakuan mereka.
Mungkin kerana itu juga Presiden PAS berpendapat salah satu komponen PH, PKR melawan al-Quran.
Menolak al-Quran dalam tindak tanduk manusia amatlah berbahaya kerana ia pasti akan sesat kerana tiada petunjuk dari Allah dan rasul.
Walau bagaimanapun penafian mereka yang mereka bukan dari kalangan penolak al-Quran, namun, kalangan rakyat yang faham hanya sedikit agamapun, dapat menghidunya.
Saya yakin dengan Presiden PAS.
Ada anda perasan, tiba-tiba, dalam seminggu ini, ramai penyokong PH, mula menggunakan agama bagi menangkis serangan yang mereka sendiri berikan ruang untuk musuh menyerang dengan kelakuan mereka.
Jika diperhatikan, ia supaya kelihatan musuh PH pula yang jahat dan bersalah kerana serangan itu.
Itulah yang mereka mahukan, supaya serangan dikurangkan dan kali ini, agama menjadi perisai PH.
Bila tersepit, agama dicari mereka.
Seru mereka, kita sekarang berada dalam bulan Ramadan, bulan yang dimuliakan Allah.
Banyak ganjaran dan kerahmatan serta keampunan yang dijanjikan oleh Allah kepada semua manusia yang mencari jalan untuk berbuat kebaikan.
Jadi, menggunakan nama Ramadan, mereka mula cuba menangkis serangan musuh, supaya musuh dilihat sebagai jahat dan mereka pula dilihat sangat warak.
Konon kata mereka, musuh PH ini tidak berpuasakah?
Tidak tahu bulan apa, menyerang tidak tentu masa?
Mengumpat dalam Ramadan.
Ungkapannya benar, tapi tidak kena dengan keadaan.
Sayangnya, dek kerana mereka jahil dan hanya tahu menggunakan agama waktu terdesak sahaja, maka orang yang tahu dan berilmu dapat menangkap apa yang cuba mereka lakukan disebalik seruan agama mereka itu.
Mereka tidak tahu hal berkenaan fiqh secara mendalam.
Pertahanan PH itu cukup rapuh, tiada guna bagi menyelamatkan diri mereka.
Mereka tidak tahu yang dalam bulan Ramadan, tiada disuruh untuk berhenti daripada menyebarkan kebenaran.
Buktinya dalam bulan Ramadan, Rasulullah dan para sahabat berperang dan berbunuhan kerana memperjuangkan kebenaran.
Sudah pastinya sekarang ini, kita tidak berbunuhan untuk politik, tetapi ia tidak akan mendiamkan kita daripada memberitahu kejahatan orang menipu, membuat fitnah, menggunakan kuasa mereka secara tidak betul.
Jika membunuh orang kerana kebenaran diizinkan Allah dan rasul, maka apalah sangat berkata atau menulis menerangkan kebenaran, pastinyalah lebih lagi.
Dalam kitab fiqh juga, ulamak membenarkan pada beberapa keadaan bagi kita melakukan umpatan atau berkata buruk mengenai seseorang, asalkan ianya benar.
Antaranya ialah memberitahu penipuan orang, menjadi saksi, melaporkan sesuatu yang memerlukan kita bercakap mengenai keburukan orang lain dan beberapa keadaan lagi, tanpa mengira bulan ramadan atau bukan.
Contoh, adakah kita membuat fitnah seperti menyatakan bahawa tiadanya sambutan negara oleh Arab Saudi kepada PM kita yang menggunakan wang rakyat untuk ke sana, sedangkan ia betul berlaku?
Adakah juga berdosa jika kita menulis atau berceramah, menceritakan nun, di dalam Parlimen ada menteri yang tidak berada di kerusinya kemudiannya meninggalkan timbalannya tergagap-gagap memberitahu dewan yang beliau tiada jawapan serta kemudiannya meminta maaf.
Sedang gaji mereka, kita yang bayar?
Adakah kita dikira pengumpat yang akan ke neraka jika memberitahu rakyat yang janji mereka untuk tidak membuat lantikan politik, dilanggar tanpa rasa bersalah, malah iduar-uarkan pula dalam media?
Ini antara contoh dosa dan noda yang dilakukan oleh pimpinan PH, yang kemudianya penyokong PH kononnya menggunakan agama bagi memperbodohkan rakyat supaya jangan mengumpat, jangan dibincang, tak perlu disebut-sebut, ia berdosa di bulan Ramadan yang mulia ini.
Jadi bila berada pada bulan lain, bolehkah mengumpat?
Mereka tidak sedar yang fitnah dan pemungkiran janji-janji yang dibuat oleh mereka sebelum ini sehinggakan menimbulkan kebencian rakyat yang percayakan mereka dahulu?
Teringat kepada dua perkara.
Pertama Kamal Attarturk amat membenci Islam, menyuruh azan dalam Bahasa Turki, melarang wanita menutup aurat, pisahkan sepenuhnya Islam dari pemerintahan.
Tetapi bila mahu menceraikan isterinya, segera dia mencari kadi, menggunakan hukum Islam yang membawa keuntungan kepada lelaki.
Keduanya ungkapan jika musuh mulai bersetuju dengan kita, mesti ada apa-apa yang tidak kena.
Dahulu benci Islam, sekarang setuju, malah lebih warak dari alim ulamak?
Waktu tersepit ini, mereka tiba-tiba memakai jubah agama, mencapai kopiah Islam bagi berselindung dari serangan yang tiada dapat mereka tangkiskan, atas perlakuan pimpinan mereka sendiri.
Memang hina jika seseorang itu bersungguh memisahkan politik dengan agama, semasa dia kuat.
Tetapi memeluk erat agama, dicampur, digaul dan dikamirkan agama dengan politik masa lehernya terjerut, lemah, mahu kalah.
Hina, sungguh hina jenis manusia sebegini.
Moga Allah lindungi kita daripada kehinaan ini.
Mohd Nasir Abdullah